Hub penerbangan serantau di Kota Bharu

- Advertisement -

Oleh IR ARIFFAHMI AB RAHMAN

METRA menyambut baik kelulusan dan pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu dengan menjadikannya sebagai satu lagi lapangan terbang antarabangsa dalam negara. Projek ini diletakkan sebagai high impact yang akan mengubah landskap kemajuan industri penerbangan dan trafik udara serantau serta ianya berada di Kota Bharu bandar kesayangan kita semua.

Tahniah diucapkan kepada YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan dan Menteri YB Dato’ Seri Mustafa Mohamed yang bekerja keras untuk merealisasikan projek dengan kos hampir RM500 juta ini. Ianya telah bermula, bukan cakap-cakap lagi.

Merujuk kepada rekabentuknya, lapangan terbang ini akan meningkatkan kapasiti yang boleh menampung empat juta penumpang setahun berbanding dengan kapasiti sedia ada 1.8 juta setahun. Itupun dah dikira sesak terutama musim perayaan.

- Advertisement -

Dengan tambahan lantai berbeza untuk pelepasan dan ketibaan serta peningkatan jumlah aerobridge yang melonjak kecekapan penyuraian penumpang serta capaian segera selepas pendaratan dan pelepasan pesawat.

Ditambah pula dengan aliran keluar masuk trafik yang sedia sibuk disusun semula dengan kemudahan terkini serta memberi keselesaan kepada penumpang untuk masuk dan keluar dari airport ini.

Lapangan terbang ini juga akan dijadikan sebagai tempat pelepasan untuk jemaah haji setiap tahun dan warga Pantai Timur tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk mengerjakan haji di masa depan.

METRA juga menggesa kementerian pengangkutan akan meluluskan lebih banyak laluan antarabangsa dari atau ke Kota Bharu terutama pasaran Indochina yang sangat dekat dengan Pantai Timur Semenanjung.

Ini akan merancakkan industri pelancongan domestik dan antarabangsa serta menggalakkan pertumbuhan sihat dalam pelbagai industri hiliran berkaitan pelancongan di Kelantan ini.

Industri penerbangan akan berkembang pesat dengan kemudahan penyelenggaraan pesawat dan dengan itu akan membuka lebih ramai anak tempatan yang berminat untuk masuk dalam industri udara seperti pilot, kejuruteraan udara dan lain lain jurusan berkaitan.

Universiti Malaysia Kelantan perlu bersedia untuk menjadi tempat pendidikan bagi penyediaan tenaga profesional supaya dapat penampung keperluan industri masa depan.

METRA juga menggesa Kerajaan Negeri Kelantan perlu merangka pelan induk pelancongan negeri bagi memanfaatkan semua potensi dan budaya timur yang kaya dengan pelbagai warisan yang boleh dipackagekan dengan baik dan diletakkan di tempat yang sesuai supaya ianya dilihat menarik dari luar negara untuk pelancong selesa berkunjung di sini.

Makyong, menora dikir barat dan semua aktiviti budaya perlu dipersembahkan dengan baik dengan sokongan warisan makanan tempatan yang sedia tersohor. Ianya perlu disusun semula dengan packaging yang baik serta nilai tambah terkini bagi menarik pelancong.

Apa yang pasti Kelantan perlu dizahirkan sebagai hub pelancongan budaya yang unik yang perlu dikenali oleh generasi muda negara dan pelancong asing.

Konsep pelancongan Islam perlu dilihat semula dengan tambahan program yang menarik khususnya bagi generasi muda dan golongan pesara. Ia juga boleh disesuaikan dengan masa cuti yang banyak di Malaysia supaya golongan muda dan pesara kerajaan boleh datang ke Negeri Kelantan dalam tempoh singkat bagi menikmati pelancongan Islam.

Pondok-pondok dan semua maahad tahfiz di Kelantan perlu dipergunakan sepenuhnya bagi tujuan ini, dengan pakej yang menarik serta murah.

Ir Ariffahmi Ab Rahman


Rakyat Kelantan ingin melihat projek ini akan mempercepatkan lagi infrastuktur yang lain seperti ECRL dan Central Spine Road yang akan menghubungkan lapangan terbang antarabangsa Kota Bharu dengan sambungan mode pengangkutan yang lain untuk ke destinasi berbeza. Sistem penyuraian trafik yang cekap akan menjadikan lapangan terbang ini sebagai hub penerbangan yang selesa dan kebanggaan semua. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

Penulis ialah Presiden Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (METRA).

- Advertisement -