Penemuan bangkai ikan lumba-lumba jadi tanda tanya

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Penemuan beberapa bangkai ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya orang ramai di sini.

Sebelum ini kelibat kawanan ikan lumba-lumba menghampiri pantai di Sungai Berembang bukan perkara asing bagi penduduk tempatan.

Pengerusi Persatuan Alam Sekitar dan Hidupan Liar Perlis atau Perlis Nature Wild (PNW), Syamil Abdul Rahman berkata penemuan bangkai mamalia spesies yang terancam iaitu Irrawady, dipercayai hanyut dari laut dan terdampar di Sungai Berembang.

- Advertisement -

“Penemuan hari ini (semalam) adalah bangkai keempat yang direkodkan dalam tempoh sembilan bulan.

“Keadaan bangkai ikan lumba-lumba itu dikategorikan tahap empat iaitu sudah berbau dengan perutnya terburai dipercayai mati lebih seminggu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya berat ikan lumba-lumba yang ditemui itu dianggar sekitar 100 hingga 150 kilogram dan bersaiz 2.5 meter.

“Berdasarkan pemerhatian, luka dan kesan darah pada bangkai itu bukan disebabkan luka tetapi akibat bahang panas matahari.

“Tidak mungkin kematian mamalia tersebut dapat dikaitkan dengan pencemaran dan sisa buangan di laut,” ujarnya.

Menurut Syamil ikan terbabit boleh dikategorikan sebagai mamalia yang bijak dan mempunyai tahap pemikiran tinggi.

“Jika diikutkan, belum pernah berlaku dolphin (ikan lumba-lumba) terkena kipas bot kerana ikan tersebut mempunyai tahap pemikiran tinggi.

“Jika ada yang mengekori bot nelayan pun, selalunya kumpulan ikan itu berhati-hati dan sangat jarang berlaku kes terkena kipas bot.

“Kematian kali ini mungkin disebabkan tertinggal dari kumpulan atau mempunyai penyakit atau juga mungkin tersangkut di kawasan air yang surut,” katanya.

Sampel sirip dan gigi bangkai mamalia itu dihantar kepada Marine Mammal Conservation (MareCet) yang mempunyai kepakaran dalam bidang biologi marin untuk ujian makmal.

Selain ikan lumba-lumba, pendaratan tuntung pernah direkodkan di Kuala Perlis pada 2018.

Menurut Pengerusi Komuniti Perikanan Perlis (MyKP), Husin Ya dari tahun 2010 hingga kini seringkali terlihat kemunculan mamalia itu terdampar mati di lokasi terbabit.

Beliau juga berharap mana-mana pihak terjumpa bangkai ikan lumba-lumba atau hidupan marin lain yang terancam melapor kepada Jabatan Perikanan Perlis atau Komuniti Perikanan atau melalui laman media sosial Perlis Nature Wild (PNW). – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -