KPDNHEP periksa 204 premis jual kit ujian Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Penjualan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (RTK) di Kelantan didapati dijual mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Adnan Abd Rahman berkata, pemeriksaan harga itu dilakukan sejak 15 Ogos lepas.

Katanya, peniaga dan pengusaha farmasi diberi tempoh selama seminggu untuk membuat penyesuaian dan penyelarasan harga mengikut harga siling yang ditetapkan maksimum RM19.90 dan RM16 untuk harga maksimum borong.

- Advertisement -

Kata beliau hasil pemeriksaan yang dibuat terhadap 204 premis dan farmasi di seluruh Kelantan mendapati ia dijual mengikut harga yang ditetapkan.

“Untuk rekod, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan menjalankan 204 pemeriksaan terhadap ‘Covid-19 Self Test Kit’ di seluruh negeri ini bermula 15 Ogos 2021 sehingga semalam.

“Malah sepanjang pemeriksaan mendapati ia dijual mengikut harga yang ditetapkan kementerian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Ops Samar ketika membuat pemeriksaan harga RTK di Pasaraya KB Mall hari ini.

Menurutnya juga sepanjang Ops Samar pihaknya mengeluarkan satu saman terhadap sebuah pemilik premis pakaian yang gagal mematuhi SOP ditetapkan kerana tidak menyediakan mesin pengimbas suhu badan.

Mengulas lanjut katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan dengan menjual melebihi harga yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Bagi kesalahan dilakukan individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP menjalankan Ops Samar dengan menggunakan kaedah penyamaran sebagai orang awam bagi membuat pemeriksaan terhadap barang yang dijual dan pematuhan SOP PPN Fasa 2.

Adnan juga berkata, setakat ini statistik kes kompaun sepanjang pendemik Covid-19 sebanyak 63 tindakan dengan tawaran kompaun sebanyak RM360,000. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -