Undi percaya tentukan keabsahan PM, tidak wajar

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob tidak wajar dilaksanakan sekiranya terdapat kepentingan politik bagi pihak tertentu untuk mencabar kerajaan sedia ada.

- Advertisement -

Menurut pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, ia juga bertentangan dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan wakil-wakil rakyat mengurangkan politiking.

“Bagi saya, soal undi percaya atau tidak percaya ini kalau dilihat dengan tujuan reaffirm (pengesahan semula) semata-mata memang untuk kepentingan kerajaan yang sedia ada, tidak ada kaitan dengan pembangkang.

“Tetapi kalau untuk tujuan yang kedua iaitu untuk mencabar kerajaan yang ada, ia adalah suatu tujuan politik yang tentunya bertentangan pula dengan hasrat YDPA supaya tak perlu ada banyak politiking.

“Jadi, dari mana-mana arah sekalipun pihak pembangkang tidak perlulah terlalu ghairah bersuara untuk mendesak wujudnya atau berlakunya undi percaya sebab atas dua alasan kerana kedua-duanya tidak baik atau tidak ada kaitan dengan pihak pembangkang,” katanya.

Menyentuh berkaitan titah yang di-Pertuan Agong melalui satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada 18 Ogos lalu menitahkan supaya sesiapa jua yang dilantik menjadi Perdana Menteri hendaklah membentangkan undi percaya di Dewan Rakyat dengan segera.

Jelas beliau, kenyataan berkenaan tidak lagi relevan untuk dibincangkan kerana Perdana Menteri sudah dilantik dan menjalankan tugas-tugasnya sebagai pemimpin negara.

“Kenyataan daripada Istana itu kita kena faham konteks, pada 18 haribulan (Ogos) belum ada Perdana Menteri, pada 20 haribulan (Ogos) sudah ada cadangan nama walaupun belum angkat sumpah dan sekarang ini sudah diisi jawatan berkenaan.

“Kalau tengok kenyataan 18 haribulan disebut bahawa undi percaya itu dilaksanakan serta-merta, bermakna apa yang dikehendaki pada tarikh itu sudah overdue (tertunggak), sudah tidak lagi relevan untuk dibincangkan,” ujar Muhammad Fathi.

Menurutnya, persidangan Dewan Rakyat yang memerlukan usul undi percaya itu dilakukan, bukannya undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri.

“Yang kita nak bincangkan sekarang ini ialah undi percaya perlu atau tidak, untuk sidang yang akan diadakan pertengahan September nanti.

“Jadi dalam konteks ini, tidak relevan lagi untuk kita kaitkan dengan kenyataan Istana pada 18 haribulan itu kerana tidak lagi mempunyai kaitan dengan perbincangan kita pada saat ini dan juga akan datang,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam Webinar Intelektual Negara bertajuk ‘Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ yang bersiaran langsung di Youtube Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.

Turut hadir selaku ahli panel, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM), Dato’ Sri Dr Kamarul Rashdan Salleh, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib@Khalid dan Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk kerana proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan.

Justeru kata beliau, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -