PICK faktor lonjakan KDNK

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Hasil tinjauan ekonomi dikeluarkan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada 12 Ogos lalu meramalkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara akan pulih pada tahap 4.3 peratus tahun ini serta dijangka melonjak sebanyak 6.1 peratus pada tahun hadapan.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, ramalan lonjakan KDNK ini berikutan kesan positif daripada program vaksinasi yang dijalankan secara konsisten serta bersepadu.

- Advertisement -

“Orang luar (OECD) dah beri pemetaan tentang kebangkitan semula serta pemulihan Malaysia ini yang dilihat positif kerana program Vaksinasi Nasional yang begitu berjaya dan pantas.

“Kalaulah komuniti kelompok ini boleh diwujudkan dengan lebih cepat maka operasi kepada perniagaan, industri, kesemuanya boleh bergerak seperti biasa, kita andaikan begitu walaupun kebiasaan itu dipanggil normal baharu,” ujarnya.

Katanya, kebanyakan sektor ekonomi di negara ini dipelopori kaum Cina yang mana merupakan komuniti paling terjejas akibat pandemik Covid-19, justeru Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah jalan keluar terbaik untuk keluar daripada krisis berganda ini.

“Selepas pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, keadaan agak reda kerana kita pun tahu orang Cina adalah komuniti yang paling terkesan daripada Covid-19, jadi mereka juga harus memberi kata sepakat dan sokongan kepada PPN dan bersedia untuk menyokong kepada kestabilan politik.

“Dah tiba masanya untuk kita bawa aspirasi serta semangat ini untuk mendukung kerajaan yang sedia ada keluar daripada krisis berganda ini iaitu kesihatan dan ekonomi, itu yang paling penting,” tambahnya.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan wakil-wakil rakyat untuk sentiasa merendah diri serta fokus ke arah usaha berkhidmat semata-mata kerana rakyat, bukan berpolitik sepanjang masa.

“Kita kena ingat oleh kerana kita demokrasi berperwakilan, rakyat memilih wakil mereka sahaja, sampai di parlimen yang memilih Perdana Menteri adalah wakil rakyat.

“Wakil rakyat harus diingatkan berkali-kali, jangan lupa diri, jangan meneruskan politik kempunan dan jangan meneruskan politik tamakkan kuasa.

“Kembali kepada kepada wadah sebenar, amanat yang dibawa ialah untuk rakyat, berkhidmat untuk rakyat kerana amanah yang ini akan ditanya nanti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam Webinar Intelektual Negara bertajuk ‘Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ yang bersiaran langsung di Youtube Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.

Turut hadir selaku ahli panel, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM), Dato’ Sri Dr Kamarul Rashdan Salleh, Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dan Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR). – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -