TNB sumbang RM100,000 untuk mangsa kepala air Gunung Jerai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menghulurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada mangsa bencana fenomena kepala air Gunung Jerai, Kedah pada Sabtu lepas yang disampaikan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

TNB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cek sumbangan itu disampaikan oleh Takiyuddin, diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din kepada Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, di Yan, Kedah.

- Advertisement -

“Takiyuddin yang mengadakan lawatan pertama beliau sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli berada di Yan untuk meninjau kawasan tanah runtuh akibat kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu dan usaha TNB memulihkan aset dan infrastuktur bekalan elektrik yang rosak dan terjejas ekoran bencana berkenaan.

Beliau turut menyantuni warga kerja syarikat utiliti elektrik negara itu yang masih giat melakukan kerja kerja membaik pulih. TNB telah menyediakan janakuasa bergerak untuk membekalkan elektrik sementara kepada semua pengguna terjejas sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir adalah Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau Mohd Azam Abdul Samat dan Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji.

Bencana kepala air yang melanda kaki Gunung Jerai telah menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar Daerah Yan, Gurun dan Merbok di Kedah.

Banjir kilat dan limpahan air deras telah merosakkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama, selain meragut enam nyawa penduduk. – BERNAMA

- Advertisement -