21 PPV di Kelantan laksana suntikan vaksin ‘walk-in’

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebanyak 21 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ bermula semalam setelah menerima 1.2 juta dos vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, langkah tersebut hanya terhad kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas dan individu yang tidak menerima sebarang makluman dalam aplikasi MySejahtera.

- Advertisement -

Katanya, dengan pertambahan jumlah vaksin Covid-19, suntikan dos turut dapat dipertingkat antara 32,000 sehingga 35,000 sehari dan dijangka 80 peratus penduduk Kelantan menerima vaksin tercapai.

“Kita sudah membuat keputusan ini pada Sabtu lepas, kita akan dan telah membuka PPV seluruh Kelantan untuk ‘walk-in’, jadi secara rasmi bermula semalam.

“Kita telah menerima bekalan yang mencukupi dan InsyaAllah dengan perancangan yang dibuat, sekiranya berjalan lancar pada 30 September kita akan capai imuniti kelompok atau 80 peratus daripada jumlah populasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Dr Zaini juga berkata, Jabatan Kesihatan Negeri bersedia melaksanakan suntikan kepada individu yang berumur di bawah 18 tahun setelah garis panduan klinikal dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, lebih kurang 139,000 golongan tersebut telah dikenal pasti berpandukan data yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri sebagai persediaan sebelum sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober depan.

Beliau juga berkata Jabatan Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya, yang bernaung di bawah Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersedia melaksanakan inisiatif itu.

“Kita masih menunggu polisi daripada KKM, kita ada perbincangan mengenai usaha ini dan sekiranya KKM mengeluarkan polisi untuk mereka menerima suntikan, kita akan laksanakan suntikan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -