Tiada keperluan gabung KPPK, MAFI buat masa ini

- Advertisement -

RANTAU PAJANG: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diteruskan sebagai dua kepimpinan berbeza sehingga pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tidak ada sebarang perubahan struktur Kabinet dilakukan setakat ini memandangkan ianya tiada keperluan untuk kedua-dua kementerian terlibat digabungkan buat masa ini.

- Advertisement -

Ini kerana, katanya kedua-dua kementerian terlibat masing-masing mempunyai tugas sendiri untuk pembangunan bidang kerja yang dipertanggungjawab bagi setiap kementerian.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang perubahan yang dilakukan akan dibincangkan bersama kepimpinan baharu termasuk parti politik yang berada dalam kerajaan bagi membuat keputusan bersama.

Malah katanya, sekiranya saranan yang diberikan itu memberi manfaat dan kebaikan buat negara sudah pasti ia akan dilaksanakan.

Semalam, akhbar melaporkan kerajaan disaran menggabungkan kementerian berkaitan perladangan dan industri makanan bagi menghapuskan rantaian ganas sekuriti makanan.

Ketika ini sektor komoditi dan industri makanan diselia dua kementerian berbeza iaitu di bawah KPKK dan MAFI.

Dalam pada itu, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah memberi sumbangan bekalan makanan haiwan seperti keratan ayam sejuk beku, daging sejuk beku dan pelbagai jenis sosej kepada jabatan dan agensi terlibat.

Katanya, sejumlah 11 tan hasil haiwan yang dianggarkan bernilai RM87,000 telah diagihkan dan diserahkan kepada jabatan dan agensi yang memerlukan.

“Antara yang terlibat untuk penyerahan sumbangan hari ini ialah Zoo Taiping, Pusaf Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) sungkai Perak, Royal Endurance Kelangan, Jabatan Penjara Marang Terengganu, Jabatan Penjara Machang dan Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Serahan ini adalah bertujuan untuk memastikan bekalan makanan haiwan kepada Zoo dan NWRC dalam keadaan mencukupi dan memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di Jabatan Penjara Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program MAFI Prihatin.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bekalan makanan haiwan di Pejabat Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Makanan (MAQIS), di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, sebanyak 120 tan ayam serta daging sejuk beku bernilai RM2.1 juta diserahkan kepada agensi yang berkenaan untuk dijadikan makanan haiwan sepanjang Januari sehingga Ogos tahun ini. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -