Kabinet baharu: Respons pasaran sangat positif

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

PRESTASI pasaran saham dan pasaran tukaran matawang asing memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan daripada dipengaruhi oleh faktor kestabilan politik dan kecekapan tadbir urus sesebuah negara.

Ketidakstabilan politik boleh menyebabkan para pelabur menjauhi pasaran sekali gus mewujudkan tekanan jualan yang akan menyebabkan harga-harga saham di pasaran saham sesebuah negara bakal jatuh.

Ketidakstabilan politik juga akan menyebabkan pedagang-pedagang matawang asing tidak memilih untuk membeli matawang sesebuah negara yang tidak stabil itu.

Pedagang yang memiliki matawang sesebuah negara yang tidak stabil itu juga mungkin akan melepaskan pegangan mereka kerana bimbang kadar tukaran akan jatuh. Semua ini akan mewujudkan tekanan jualan yang boleh menurunkan nilai matawang sesebuah negara.

Tidak dapat dinafikan semenjak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 negara kita memang lebih banyak berada dalam situasi tidak stabil berbanding situasi stabil.

Pergolakan politik dalaman sesama Pakatan Harapan (PH) akibat daripada isu peralihan kuasa adalah antara yang telah mewujudkan suasana tidak stabil yang berakhir dengan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Perdana Menterinya meletak jawatan. Dan selepas itu Perikatan Nasional (PN) mengambilalih negara.

Baru-baru ini politik negara berada dalam situasi tidak stabil sekali lagi apabila Umno mengumum menarik sokongan kepada kerajaan PN pada 3 Ogos lepas. Dan pada 4 Ogos Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen untuk membuat satu usul undi percaya di Parlimen pada September untuk membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri (PM).

Namun begitu pembangkang terus mendesak agar persidangan Parlimen dibuat segera untuk Muhyiddin membuktikan keabsahannya sebagai PM lebih awal, dan bukannya pada September.

Demi untuk mengekalkan kestabilan negara, pada 13 Ogos, Muhyiddin telah membuat satu kenyataan media menawarkan kerjasama dengan pembangkang bagi mengelakkan berlakunya situasi tidak menentu dalam kerajaan. Dan tawaran ini ditolak dengan angkuhnya oleh pembangkang.

Pada 16 Ogos Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai PM. Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai PM interim oleh Yang di-Pertuan Agong. Pada 20 Ogos, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Semenjak 20 Ogos, iaitu tarikh PM baharu Malaysia dinobatkan, nilai Ringgit terus meningkat berbanding USD1 pada kadar RM4.2385. Nilai Ringgit terus meningkat setiap hari sehingga mencecah RM4.1595 pada 30 Ogos.

Selain itu petunjuk utama Bursa Malaysia indeks FBM KLCI turut menunjukkan peningkatan iaitu berada pada paras 1518.03 mata pada 20 Ogos, 1522.43 mata pada 21 Ogos, 1553.27 mata pada 22 Ogos, 1569.80 mata pada 23 Ogos, 1585.74 mata pada 26 Ogos dan 1590.16 mata pada 27 Ogos. (28 dan 29 Ogos adalah Sabtu dan Ahad, Bursa cuti hujung minggu).

Malah pada 30 Ogos indeks ini menutup bulan Ogos dengan melepasi paras 1600 mata untuk ditutup pada 1601.38 mata. Kali terakhir indeks FBM KLCI mencecah paras 1600 mata ialah pada 30 April, empat bulan lepas.

Dalam tempoh enam bulan semenjak 1 Mac lepas, Ringgit pula lebih lama berada di atas RM4.10 berbanding USD1 dengan nilai terendah pada RM4.241 berbanding USD1 pada 19 Ogos.

Dalam tempoh itu juga hanya dalam tujuh hari sahaja nilai Ringgit berada di bawah RM4.10 berbanding USD1. Dan dalam tempoh itu juga Ringgit pernah mencapai kadar tertinggi pada 3 Mac dengan kadar RM4.051.

Semenjak 14 Julai Ringgit diniagakan di atas RM4.20 berbanding USD1 dan tidak pernah berada di bawah paras itu sehinggalah pada 26 Ogos di mana Ringgit mula mencecah paras bawah RM4.20 iaitu pada harga RM4.1900.

Menurut penganalisis, selain daripada faktor prospek kestabilan politik, antara faktor lain lonjakan dalam pasaran saham di Malaysia yang berlaku baru-baru ini ialah disebabkan pengumuman pembukaan berperingkat sektor perniagaan berdasarkan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah diumumkan oleh Muhyiddin beberapa hari sebelum meletakkan jawatan beliau.

Pembukaan ini memberi harapan baharu bahawa aktiviti ekonomi dan perniagaan akan kembali rancak dan seterusnya akan mengukuhkan sektor swasta.

Namun faktor kestabilan politik dan keyakinan pelabur dan pedagang terhadap kemampuan kerajaan untuk mengatasi isu ekonomi sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar pada minat mereka untuk memasuki pasaran.

Pada 26 Ogos Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah senarai Kabinet baharu. Sehari selepas itu, iaitu ada 27 Ogos beliau telah mengumumkan senarai Kabinet dan mereka mengangkat sumpah pada 30 Ogos.

Meski pun banyak sindiran dan olokan kononnya Kabinet baharu ini hanya ‘recycle’ namun itu dilihat hanya sebagai tindakan wajib daripada pihak pembangkang. Tidak pernah dalam sejarah pembangkang memuji kabinet yang dibentuk oleh parti kerajaan. Ia hanya sentimen.

Dari 27 Ogos apabila rakyat Malaysia dimaklumkan tentang pasukan Ismail Sabri yang akan memacu Malaysia sehingga ke PRU15, pasaran saham dan matawang asing terus stabil dan melonjak naik.

Sebenarnya tidak penting samada pembangkang berpuas hati atau tidak dengan barisan menteri kabinet ini kerana mereka hanya mengambilkira untung rugi politik mereka sahaja.

Namun penerimaan para pelabur dan padagang bersandarkan prestasi baik pasaran saham dan matawang asing selepas pengumuman senarai kabinet ini adalah petunjuk sebenar gambaran keyakinan rakyat terhadapnya.

Pelabur dan pedagang sangat realistik dan praktikal, bukan semata-mata berasaskan sentimen. Sekiranya mereka tidak yakin ke mana barisan kabinet ini akan membawa negara ini mereka tidak akan melabur kerana ia melibatkan untung rugi wang mereka.

Ini jelas membuktikan bahawa tindakan Muhyiddin berkorban untuk memberi ruang kepada Ismail Sabri memimpin negara telah menghasilkan satu natijah yang ajaib iaitu kestabilan yang lebih kukuh sekurang-kurangnya sehingga tamatnya Covid-19.

Langkah Muhyiddin ini sebenarnya telah meletakkan ‘pin’ pada ahli-ahli politik untuk berhenti dahulu daripada menggerakan apa-apa usaha untuk menukar kerajaan, selepas Yang di-Pertuan Agong telah bersusah payah membentuk semula kerajaan yang baharu selepas kerajaan sedia ada dipertikaikan keabsahannya.

Penulis percaya selepas ini jika ada lagi yang bercakap soal tukar kerajaan secara automatik mereka akan tercela oleh rakyat yang bosan dengan pergolakan politik.

Inilah sebenarnya yang membangkitkan keyakinan jitu bahawa kerajaan yang ada sekarang ini akan kekal stabil sehingga pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa selepas selesai Covid-19.

Inilah faktor yang memberi keyakinan kepada pelabur dan pedagang untuk berada dalam pasaran. Ia membuktikan bahawa kerajaan baharu ‘Keluarga Malaysia’ lanjutan daripada Kerajaan Perikatan Nasional berjaya membawa kestabilan pada negara. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -