Akta anti lompat parti wajar disegerakan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: “Sekiranya Parlimen ingin bergerak menjadi badan perundangan kelas pertama, tindakan melompat parti tidak patut dijadikan amalan ahli Dewan Rakyat,” kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Dr Ilyas Abdullah.

Menurut beliau, tindakan melompat parti jelas membelakangkan amanah diberikan pengundi.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu boleh dianggap pengkhianatan terhadap demokrasi, seterusnya merosakkan imej Parlimen itu sendiri.

“Justeru itu, Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti wajar disegerakan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘transformasi parlimen’ yang menjadi agenda utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Antara fokus utamanya ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, memperkenalkan akta anti lompat parti dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Ilyas, inisiatif pengiktirafan wilayah Sabah dan Sarawak juga harus dipandang serius.

“Pindaan ke atas Perlembagaan perlu dilakukan bagi memastikan status wilayah mencapai objektifnya.

“Lebih penting, ia juga mampu memberi kesan perundangan bagi mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Ujar beliau lagi, status wilayah adalah komitmen kerajaan untuk mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi, selaras semangat terkandung dalam MA63.

“Walaupun Sabah dan Sarawak diberikan status wilayah, dalam konteks negara kedua-duanya masih lagi negeri yang berada di bawah pemerintahan Pusat.

“Bagaimanapun, wilayah Sabah dan Sarawak memegang kuasa lebih besar berbanding negeri dalam Malaysia dan setaraf Semenanjung,” katanya.

Beliau berharap dengan kembalinya status wilayah, hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63, pembangunan infrastruktur dan juga ekonomi bagi kedua-dua wilayah berkenaan mampu bergerak setanding wilayah di Semenanjung.

Pada Isnin lepas, media melaporkan, Wan Junaidi akan mengkaji beberapa cadangan dibuat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada parti di luar kerajaan sebelum berundur baru-baru ini.

Pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin mencadangkan persefahaman rentas parti menerusi tujuh tawaran sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Antaranya, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik; penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion; Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal; membentangkan RUU Anti Lompat Parti.

Memperkukuhkan reformasi Parlimen; melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik; RUU Perbekalan dirunding dengan pembangkang serta ketua pembangkang diberi saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan.

Ilyas berpendapat pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun atau ‘Undi18’ juga wajar disegerakan.

Ini kerana katanya, menidakkan hak generasi muda terbabit dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau pengundi, seolah-olah menentang aspirasi generasi muda.

“Generasi muda harus diberikan ruang menempatkan diri dalam politik untuk menunjukkan kemampuan mengurus hal ehwal berkaitan rakyat dan negara.

“Golongan itu harus berada dalam lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian daripada pihak terbabit dalam proses mempengaruhi dasar awam, di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif secara intelektual dan matang,” katanya – HARAKAHDAILY 4/9/2021

- Advertisement -