Dr. Burhanuddin Al Helmy (Siri II)

'The Unsung Hero' dalam peta sejarah kemerdekaan

- Advertisement -

DI ATAS robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pesaka.

Serangkap pantun yang masyhur diucapkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy semasa Kongres Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Melaka yang memberi makna yang mendalam akan perjuangan menuntut hak kemerdekaan di Tanah Melayu.
Dalam siri kedua pada kali ini memberi penekanan terhadap liku-liku perjalanan beliau dalam perjuangan politik tanah air hingga ke nafas yang terakhir.

- Advertisement -

Menentang Imperialisme penjajah

Terdapat beberapa siri-siri penentangan Dr. Burhanuddin Helmy yang menjadi bukti akan teguhnya pendirian beliau dalam menentang penjajah. Pada tahun 1936, selepas tamat pengajian di India, beliau mengembara ke Palestin dan telah dipenjara selama beberapa hari oleh British kerana menghadiri demonstrasi Balfour. 

Kemudian pada tahun 1937 ketika berada di Singapura, beliau pernah menerbitkan majalah ‘Taman Bahagia’ yang menceritakan penderitaan rakyat Palestin terhadap penjajahan tanah haram oleh Israel yang dibantu British.

Hanya sejam selepas majalah tersebut diterbitkan, akhirnya ia terus diharamkan oleh British. Dr. Burhanuddin kemudiannya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Namun beliau berjaya diikat jamin oleh golongan hartawan.

Peristiwa Natrah pada tahun 1950 juga menjadi bukti penting akan penentangan beliau terhadap British secara besar-besaran di mana beliau memobilasikan puluhan ribu rakyat di Tanah Melayu menentang keputusan berat sebelah oleh British. Peristiwa tersebut membawa penahanan beliau bersama dengan pimpinan PKMM yang lain kerana dianggap menggugat kestabilan politik British.

Penglibatan politik

Di peringkat awal penglibatan beliau dalam bidang politik adalah menerusi parti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diterajui oleh Ibrahim Haji Yaacob pada tahun 1939. Pada ketika itu beliau masih menjadi ahli biasa.

Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu menggantikan British, Dr Burhanuddin dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu di Markas Tentera Jepun, Taiping, Perak. Pelantikan itu dikatakan kerana keanggotaannya dalam KMM, hubungan baiknya dengan Ibrahim Haji Yaacob dan juga pengetahuan agamanya yang baik.

Antara jasa besar Dr. Burhanuddin pada ketika itu ialah menganjurkan Persidangan Ulamak Malai-Sumatera di Singapura pada tahun 1943 di mana ramai ulamak daripada Tanah Melayu dan Sumatera berjaya dihimpunkan.

Dr Burhanuddin juga telah memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada tahun 1945 atas arahan Ibrahim Haji Yaacob. Tujuan penubuhan KRIS adalah gerakan untuk menuntut kemerdekaan serantau termasuklah Tanah Melayu dan Indonesia.

Gagasan Malaya Raya atau Indonesia Raya diberi tiupan sangat hebat pada masa itu dan master mind di sebalik gagasan tersebut sudah tentunya Dr. Burhanuddin al-Helmy. Idea untuk melakukan kemerdekaan serentak antara Malaysia dan Indonesia hampir terlaksana apabila adanya satu pertemuan di Taiping antara beliau dan Ibrahim Haji Yaacob bersama dengan Soekarno dan Muhammad Hatta.

Bagaimanapun, tindakan Jepun yang menyerah kalah secara mengejut semasa Perang Dunia Kedua pada 14 Ogos 1945 ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah membantutkan hasrat perisytiharan kemerdekaan tersebut. Sebaliknya Indonesia berjaya mengisytiharkan kemerdekaan pada tarikh tersebut.

Penglibatan Dr. Burhanuddin dalam arena politik semakin menonjol apabila beliau memimpin parti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Antara perkara yang menarik perhatian adalah adanya gabungan multi racial yang pertama di Tanah Melayu di antara Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama AMCJA (All-Malayan Council of Joint Action) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin dan Tan Cheng Lock pada ketika itu. 

Nafas baru politik pasca Darurat

Pada tahun 1948, PKMM diharamkan oleh British ketika berlakunya Darurat. Kemudian Dr. Burhanuddin beralih pula kepada penubuhan Partai Rakyat Malaya (PRM). Beliau meminta Boestamam untuk mengetuai PRM tersebut meskipun dia baru keluar daripada tahanan selama tujuh tahun di bawah Undang-undang Darurat.

Ketokohan Dr. Burhanuddin masih terserlah apabila beliau ‘dilamar’ oleh Parti Islam Se-Malaya (PAS) untuk memimpin parti tersebut pada tahun 1956. Pada waktu tersebut, PAS dipimpin oleh Dr. Abbas Alias yang merupakan pegawai perubatan kerajaan. Keterbatasan Dr. Abbas untuk terlibat dengan politik tanah air menyebabkan PAS perlukan pemimpin yang lebih progresif dan lantang memperjuangkan hak kedaulatan Islam di Tanah Melayu.

Walaupun pada peringkat awalnya pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua PAS yang ke lima agak diragui oleh perwakilan muktamar disebabkan kemungkinan beliau lari daripada hala tuju parti, namun hasilnya amat memberangsangkan. PAS berada di persada pentas utama politik negara apabila berjaya memenangi Kelantan dan Terengganu semasa Pilihan Raya Umum 1959 dan beliau kemudiannya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parimen Besut.

Perjalanan akhir

Episod perjalanan terakhir beliau sangat menghayat hati apabila beberapa kali beliau mendekam di penjara, ia memberi implikasi terhadap kesihatan beliau. Beliau dikatakan menghadapi sakit batu karang kerana kerap kali menahan air kencing kerana ingin dalam keadaan berwuduk dapat beribadat dengan lebih lama.

Dr. Burhanuddin juga kurang menulis buku disebabkan masalah kesihatan mengganggunya, namun beliau lebih banyak berzikir dan beribadat semasa berada di dalam penjara. Beliau seringkali berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan, akhirnya kerajaan membebaskan beliau tanpa syarat.

Akan tetapi takdir mengatasi segalanya. Sewaktu dibebaskan dari penjara, beliau masih dimasukkan ke hospital dalam keadaan uzur. Akhirnya beliau dijemput menghadap Ilahi pada 10 Oktober 1969 tanpa diberi penghormatan negara, hanya diiringi rakan-rakan terdekatnya yang tahu menghargai perjuangannya.

Berakhirlah karier politik seorang ‘unsung hero’ ini yang teguh prinsipnya memperjuangkan gagasan Malaya Rayahingga akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmatNya di atas segala titik peluhnya bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini.

Sedikit petikan ucapan beliau buat renungan kita bersama:

“Kebangsaan Melayu bukan dibina semata-mata kerana seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu, datuknya Melayu, tetapi Kebangsaan Melayu itu adalah diasaskan dan dibinakan di atas Kebangsaan Melayu iaitu Kebangsaan yang mengikut tabiat semula jadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak bumi pertiwi ini. Yang bersatu hasrat pada azamnya, bersatu padu dalam ideologi Kebangsaannya.”

TS. FAIZ RAZALI,
AJK Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM

Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang jurutera rekabentuk di salah sebuah syarikat dalam bidang kejuruteraan automotif.

Sumber Rujukan;

[1] Menyingkap semangat Dr Burhanuddin, Muthanna Saari (25 Oktober 2019)
https://www.sinarharian.com.my/article/53964/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Menyingkap-semangat-Dr-Burhanuddin

[2] Dr Burhanuddin tokoh berjasa dalam sejarah, Dr Riduan Mohamad Nor (11 July 2020)
https://harakahdaily.net/index.php/2020/07/11/dr-burhanuddin-tokoh-berjasa-dalam-sejarah/

[3] Buku ‘Burhanuddin Al-Helmy, Suatu Kemelut Politik’, Ramlah Adam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017.

[4] Buku ‘Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden’, Zainudin Hashim & Riduan Mohamad Nor, terbitan Jundi Resources, January 2009. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -