Ulamak PAS P Pinang bantu mangsa kebakaran

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

BUKIT MERTAJAM:
Lajnah Kebajikan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang telah menyantuni tiga keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran menerusi sumbangan kepada mangsa di Sungai Semambu, di sini semalam.

Dewan itu yang diwakili oleh ketuanya dan timbalan, Ustaz Tajudin Abu Bakar dan Ustaz Sarbini Hussin serta Ketua Lajnah Kebajikan, Ustaz Mohd Anur Hussin bersama pimpinan PAS Kawasan Permatang Pauh telah menyampaikan bantuan tersebut.

- Advertisement -

Menurut Ustaz Mohd Anur, ziarah itu sebagai menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan di atas musibah yang menimpa keluarga terbabit.

Beliau berkata, mangsa terdiri daripada Khairul Azman, 47, Mohamad Hafiz, 38, dan Maznah Pawanchee, 58, menerima sumbangan berupa wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Tiada harta benda mahupun dokumen penting sempat diselamatkan, namun mangsa dan anak-anak yang tinggal bersama dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kami amat bersyukur kerana kebakaran ini tidak meragut sebarang jiwa,” kata beliau.

Katanya, untuk membantu mangsa meneruskan kelangsungan hidup keluarga itu, satu kutipan derma khas telah dilancarkan oleh Dewan Ulamak bagi membantu tiga keluarga itu agar dapat membina kembali rumah yang musnah.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun BIMB 07052010001779 atas nama Tetuan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang untuk disampaikan kepada keluarga mangsa.

Pada 19 Ogos lalu, satu kebakaran telah berlaku kira-kira jam 4 pagi menyebabkan tiga keluarga itu kehilangan tempat tinggal. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -