Masjid Pintar elemen ‘Standard Masjid Malaysia’

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaklumkan elemen Masjid Pintar (smart mosque) akan dimasukkan dalam Standard Masjid Malaysia.

Menurut beliau, masjid-masjid hendaklah dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terkini bagi meningkatkan urus tadbir dan aktiviti pengimarahan masjid dengan norma baharu.

- Advertisement -

“Kami terus memperkasakan fungsi masjid dan surau sebagai pusat komuniti setempat bagi menyantuni golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

“Program ini akan dimulakan di masjid-masjid terpilih di Wilayah Persekutuan dan akan diluaskan ke negeri-negeri lain.

“Program-program pengimarahan keilmuan bagi memantapkan akidah, syariah dan akhlak masyarakat akan diteruskan dengan cara norma baharu melalui pendanaan dan penganjuran oleh pihak masjid dan surau.” katanya.

Tambah beliau, usaha dan kempen agar komuniti mendapatkan vaksin semaksima mungkin akan turut digerakkan melalui institusi masjid dan surau bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dapat dicapai mengikut jadual atau lebih awal.

Sementara itu, kata Idris, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, pihaknya sering dihujani dengan rungutan masyarakat Islam mengenai isu solat berjemaah di masjid dan surau yang terhad akibat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Menyedari bahawa pentadbiran masjid dan surau adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri maka saya akan mengadakan pertemuan segera dengan semua mufti-mufti dari setiap negeri serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk membincang syor dan cadangan munasabah bagi menangani isu ini dalam tempoh jangka masa pendek,” katanya dalam ucapan sulung, semalam. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -