Sasar sebelum November capai 80 peratus vaksinasi

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menyambut baik saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertingkatkan pemberian vaksin melebihi 50 peratus kepada enam negeri termasuk Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya kini menanti perkembangan lanjut daripada kerajaan pusat untuk memperkasakan lagi Program Imunisasi Covid-19 (Pick) di 37 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya sehingga kini kerajaan negeri melalui pelbagai agensi melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

“Kita harap benda ini dapat disegerakan, cuma kita tidak tahu berapa dos akan diberi kerajaan pusat. Kita minta lebih kurang sejuta dos lagi, sebab pendaftaran tinggi sekarang hasil kempen yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di MABNA Membangun Bersama Islam (MBI) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Amar berkata, proses vaksinasi di Kelantan berjalan seperti biasa walaupun bekalannya tidak mencukupi untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada awal September.

Menurutnya juga kerajaan negeri menetapkan sebelum November untuk mencapai jumlah 80 peratus vaksinasi daripada populasi penduduk.

“Suntikan vaksin sekarang memang bergerak, cuma nak sampai target dijangka pada September bergantung kepada bekalan vaksin. Kerajaan negeri sedia mencari alternatif lain jika bekalan tidak cukup.

“Maknanya dalam tempoh ini kerajaan pusat tidak dapat membekalkan maka kita mungkin mencari jalan untuk dapatkan sendiri termasuk membeli vaksin untuk pastikan sasaran sebelum musim tengkujuh,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini dilapor mahu enam negeri yang kadar vaksinasinya rendah, mencapai lebih 50 peratus suntikan menjelang hujung Oktober iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -