Oligarki yang mensia-siakan harapan rakyat

- Advertisement -

SISTEM pemerintahan

Secara umumnya, ada dua jalur pemikiran mengenai sistem pemerintahan;

1. Plato melihat bahawa sistem pemerintahan itu ada 5, iaitu Monarki atau Aristokrasi, Timokrasi, Oligarki, Demokrasi dan Tirani.

2. Manakala Aristotle pula melihat ada 6, iaitu dengan penambahan Politi, iaitu demokrasi berperlembagaan yang terletak antara kedudukan Oligarki dan Demokrasi.

- Advertisement -

Susunan ini bermula daripada kekuatan Logos (rasional) hinggalah kepada Eros (nafsu) dalam sesebuah pemerintahan.

Menurut Plato, pemerintahan terbaik ialah Monarki atau Aristokrasi. Ini kerana, negara diperintah oleh seorang atau sekumpulan manusia yang mempunyai rasional (Logos) yang tinggi. Pemerintahan demokrasi pula dianggap buruk kerana didominasi oleh suara majoriti, yang semulajadinya akan terheret kepada sistem Tirani (kuku besi).

Suara majoriti dianggap mempunyai kekuatan Eros yang tinggi. Apabila sesuatu ketetapan itu diukur bukan kerana Rasional (Logos) yang tinggi, sebaliknya untuk memenuhi keinginan semua orang.

Aristotle melihat bahawa pandangan Plato itu terlalu idealistik, dan beliau sendiri cuba melihat dari sudut realistik. Beliau menyatakan bahawa memang benar sistem Monarki itu terbaik, tetapi sekiranya seseorang pemerintah itu tidak mengambil kira kepentingan majoriti, ia merupakan sistem yang teruk.

Menurut Aristotle lagi, pemerintahan yang terbaik selepas Monarki ialah Aristokrasi. Iaitu pemerintahan yang dikuasai oleh sekumpulan orang. Sekiranya pemerintahan Aristokrasi tidak mengambil kira kepentingan majoriti, maka ia akan menjadi sistem pemerintahan yang teruk, yang disebut Oligarki.

Menurut beliau lagi, sistem politik juga adalah sistem yang baik. Iaitu kerajaan yang diperintah oleh sekumpulan ramai, dan melaksanakan kepentingan ramai. Tetapi sekiranya ia bertukar kepada menjaga kepentingan kumpulan tertentu sahaja, maka pemerintahan itu akan menjadi teruk.

Aristotle dan Plato kedua-duanya bersetuju mengatakan bahawa sistem demokrasi itu, apabila dikuasai oleh golongan yang lebih Eros (nafsu) berbanding Logos (rasional), ia akan menjadi pemerintahan yang teruk.

Secara umumnya, kesemua sistem pemerintahan, perlu kepada rasional (Logos), bukannya Eros (nafsu). Apabila Logos itu diutamakan, maka pemerintahan itu menjadi pemerintahan yang baik. Sekiranya dikuasai oleh Eros, ia akan bertukar menjadi pemerintahan yang teruk.

Perlunya ilmu dalam sistem pemerintahan

Dalam Islam, Islam mendidik umatnya supaya mengutamakan ilmu yang merupakan paksi kepada rasional, sebelum memimpin. Saidina Umar R.A pernah berkata;

تفقهوا قبل أن تسودوا

“Belajarlah kamu semua sebelum kamu memimpin.”

Kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S di dalam Surah an Naml (ayat 15) dimulakan dengan kepentingan ilmu bagi pemerintah. FirmanNya:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman.”

(an-Naml: 15)

Pemerintah mestilah seorang yang berilmu. Hal ini juga disebut di dalam Surah al Baqarah (ayat 247) bahawa Thalut adalah seorang berilmu, yang menjadi kriteria pilihan untuk memimpin Bani Israel. FirmanNya:

قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ

“Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi Raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.”

(al-Baqarah: 247)

Kita perlu meletakkan kebimbangan apabila sesebuah negara itu dipimpin oleh orang yang bodoh. Ia akan menyebabkan negara itu dikuasai oleh cara pemerintahan yang bersifat Eros (nafsu), berbanding Logosnya (rasional)

Kebodohan di akhir zaman

Nabi S.A.W pernah menceritakan mengenai realiti kebodohan di akhir zaman. Sabdanya:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا ‏‏

“Allah S.W.T menghapuskan ilmu tidak dengan cara mencabutnya secara langsung dari hati umat manusia. Tetapi Allah akan menghapuskan ilmu agama dengan mewafatkan para ulamak, hingga tidak ada seorang ulamak pun yang akan tersisa. Kemudian mereka akan mengangkat para pemimpin yang bodoh. Apabila mereka, para pemimpin bodoh itu dimintai fatwa, maka mereka akan berfatwa tanpa berlandaskan ilmu hingga mereka tersesat dan menyesatkan.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Budaya kejahilan atau kebodohan di akhir zaman menyebabkan lahirnya sistem pemerintahan yang tinggi Erosnya, dan lemah rasionalnya. Sesuatu tindakan itu bukan dibuat berdasarkan rasional (Logos), akan tetapi mengutamakan nafsunya (Eros). Maka, sistem pemerintahan itu menjadi rosak bukan kerana sistem itu, akan tetapi kerana nipisnya daya rasional.

Pernah tak kita terfikir, kenapa daya rasional itu semakin nipis? Antaranya ialah kerana kekurangan ilmu. Ilmu itu adalah tunjang kepada kekuatan rasional. Semakin tinggi ilmu seseorang, hujah dan tindakannya semakin rasional. Begitulah sebaliknya.

Antara yang lain, gejala kebodohan itu disebabkan tingginya paras Eros (nafsu) dalam masyarakat. Apabila Eros menguasai jiwa pemerintah, ia akan menyebabkan pemerintahan yang baik, bertukar Tirani (kuku besi) atau sekurang-kurangnya menjadi Oligarki. Dalam masyarakat, apabila Eros menguasainya, masyarakat akan menjadi satu struktur sosial yang rosak. 

Dari mana datangnya Eros

Eros datangnya daripada pengaruh kebendaan (material). Kita perlu sedar, kebendaan itu lahir daripada 3 saluran, iaitu harta, pangkat dan wanita. Ketiga-tiga elemen ini dipromosikan secara halus melalui ideologi-ideologi Barat. Sama ada dari sudut undang-undang, ataupun media sosial.

1. Saya bagi contoh, media sosial menjadi instrumen kepada kebebasan bersuara. Maka, apabila ruang itu dibuka tanpa batasan dan kawalan, sesiapa sahaja berhak melampiaskan Eros (nafsu) bercakapnya ke dalam media sosial. Di situlah medan maki memaki, di situlah medan fitnah memfitnah.

Sahabat R.A bertanya:

 ما النجاة؟ 

“Apakah jalan selamat?” 

Nabi S.A.W bersabda:

 أمسك عليك لسانك 

“Jagalah lidahmu.” 

Nabi S.A.W mendidik kita supaya menjaga lidah. Tetapi media sosial telah membuka ruang yang terlalu luas untuk terjebak ke arah jenayah lidah. Maka, dengan kebebasan bersuara tanpa kawalan akan melahirkan dominasi Eros, dan boleh menyebab terkikisnya jalan selamat.

2. Media sosial juga menjadi ruang untuk memperagakan segala kemewahan dan harta yang ada. Tidak susah. Cukup hanya bergambar dengan kereta baru, sudah memberi tekanan kepada mereka yang tidak mampu untuk memilikinya. Situasi ini akan mendorong Eros untuk berlumba-lumba mengejar dunia. Nabi S.A.W bersabda;

فَوَاللَّهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخْشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا وَتُلْهِيَكُمْ كَمَا أَلْهَتْهُمْ 

“Demi Allah bukan kefakiran yang aku bimbangkan kepada kamu. Tetapi aku bimbang diperluaskan dunia kepada kamu sepertimana telah diperluaskan kepada orang-orang sebelum kamu. Maka kamu berlumba-lumba mendapatkannya seperti mana mereka berlumba-lumba mendapatkannya dan dunia akan melalaikan kamu seperti mana ia telah melalaikan mereka.”

(Riwayat Imam Bukhari) 

3. Wanita sudah terdedah dalam media-media sosial. Secara tak langsung, seseorang yang sudah memiliki isteri pun, menginginkan isterinya secantik wanita yang terpampang di dalam media sosial. Mereka yang mengkongsikan gambar sweet dengan isterinya, sudah pasti memberi tekanan kepada mereka yang masih hidup membujang lantaran hantaran yang tinggi.

Nabi S.A.W bersabda: 

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ 

“Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.”

(Muttafaq Alaih)

Tidak dinafikan kebaikan-kebaikan yang masih ada pada media sosial. Soalnya, siapa yang mampu mengawal kebebasan yang terlalu liar ini? Sebab itulah masyarakat hari ini lebih terdedah kepada ransangan Eros (nafsu). Lantas ia akan turut memberi kesan terhadap sistem pemerintahan.

Negara yang mengamalkan Demokrasi contohnya, pemerintah itu dipilih oleh rakyat. Maka, apabila rakyat itu dipengaruhi oleh Eros, dan lemah Logosnya, menyebabkan mereka akan memilih pemerintahan yang salah. Seperti memilih pimpinan yang ‘sebulu’ dengannya sekalipun bodoh.

Oligarki

Sistem Oligarki diklasifikasikan sebagai sistem yang buruk. Ia boleh difahami dengan sesebuah negara yang dikuasai oleh tauke-tauke tertentu. Contohnya para tauke akan menaja ahli-ahli politik yang ada potensi untuk menang. Ataupun ahli politik yang sudi menjadi proksinya.

Lantas, apabila ahli politik itu menang, berkuasa, dan berjawatan, dia akan membalas jasa para tauke tadi dengan meluluskan ribuan ekar tanah atau projek kepada tauke yang menajanya tadi. Ataupun merealisasikan apa sahaja keinginan perut para tauke-nya itu.

Ini menyebabkan politik itu berubah-ubah mengikut selera para tauke yang menajanya itu. Undi dan harapan yang diberikan oleh rakyat pula dipermainkan sesuka hati. Ini menggambarkan bahawa ahli politik itu masuk dalam politik bukanlah untuk membantu rakyat, sebaliknya lebih kepada mengenyangkan perut para tauke mereka.

Inilah contoh gambaran sistem Oligarki. Undi yang diberikan oleh rakyat tujuannya supaya hak mereka itu dibela oleh YB. Tetapi apabila unsur Oligarki meresap dalam sistem ini, undi-undi tersebut hakikatnya hanya menguntungkan para tauke sahaja. Manakala undi-undi yang diberikan dalam pilihan raya itu tersia-sia begitu sahaja. 

Allah S.W.T menceritakan di dalam al-Quran mengenai pengaruh harta kekayaan terhadap bilangan pengikut yang menjadi asas kepada Oligarki:

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.”

(al-Kahfi: 34)

Ayat ini jelas menyebut kaitan harta dan pengikut. Jelas kaitannya dengan sistem Oligarki yang mana sesebuah negara itu dikuasai oleh para tauke untuk mengaut kekayaan melalui jalan penguasaan politik. 

Undi yang tersia-sia

Hasil kekayaan sesebuah negara sepatutnya teralir kepada rakyat secara sekata. Tetapi dengan sistem Oligarki yang meresap dalam ruang Demokrasi akan membuka ruang dan peluang bagi para tauke untuk menambahkan kekayaan peribadinya. Sikap tamak sebegini digambarkan oleh Nabi S.A.W;

لو كان لابن آدم واد ذهب أحب أن له واديا آخر

“Daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah S.A.W, sesungguhnya baginda bersabda: Jika anak Adam (manusia) memiliki satu lembah emas, nescaya dia akan mencari lembah yang kedua.”

(Hadis Riwayat Muslim)

FirmanNya;

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ

“Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).”

(at-Takathur: 1)

Ke‘Oligarkian’ itu semakin signifikan dengan pelaksanaan-pelaksanaan sistem Kapitalisme, yang membawa kepada kekayaan golongan tertentu sahaja. Contohnya lesen AP yang hanya diberikan kepada golongan tertentu yang menyebabkan berlakunya monopoli barang dagangan, percukaian yang dikenakan kepada semua orang menyebabkan rakyat semakin miskin, dan banyak lagi.

Pelaksanaan sistem Kapitalisme ini mendorong Eros (nafsu) bagi para tauke untuk terus menambah kapasiti periuk nasi mereka. Jelas sepertimana gambaran hadis tadi, bahawa keinginan (Eros) untuk mengumpulkan kekayaan itu menyebabkan tersia-sianya harapan rakyat.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -