Pendidikan demokrasi di Malaysia: Melahirkan pengundi matang

- Advertisement -

SEJAK dari mula saya menceburkan diri ke dalam arena aktivisme dan seterusnya ke gelanggang politik, perkara paling utama yang saya rasakan perlu diberi penekanan adalah untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang matang dari sudut pemikiran.

Dalam konteks ini, kematangan seseorang tidak boleh diukur dengan umur atau latar belakang pendidikan semata-mata, tetapi lebih kepada keupayaan setiap individu untuk membuat sesuatu pilihan dalam kehidupan mereka.

Kematangan sesebuah masyarakat adalah kunci kepada sebuah negara yang berjaya. Oleh yang demikian, sejak awal lagi, antara perkara yang saya rasakan perlu dilaksanakan adalah program-program pemberdayaan (empowerment) bagi memastikan masyarakat terdidik sama ada secara formal atau tidak formal, dalam membuat keputusan yang boleh mengubah kehidupan mereka.

- Advertisement -

Di Malaysia, kita masih lagi berada dalam kekurangan, terutamanya dari aspek pemberdayaan pendidikan politik. Sungguhpun terdapat sedikit penerangan mengenai struktur demokrasi, perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa di peringkat sekolah dan universiti, anak-anak kita tidak diajar untuk menilai, berfikir dan terlibat secara langsung dalam proses demokrasi di negara ini.

Oleh yang demikian kita melihat pada ketika ini, kebanyakan rakyat Malaysia menganggap politik sebagai satu perkara trivial atau lebih menyedihkan lagi setaraf dengan hiburan, sedangkan hal-hal demokrasi, politik dan pentadbiran merupakan satu perkara yang amat penting bagi masa hadapan mereka.

Kedangkalan pemikiran masyarakat ini dapat dilihat dengan lebih jelas dengan wujudnya media sosial. Apabila melihat komen-komen netizen saya merasakan kebanyakan dari kita (bukan semua), tidak faham apa yang cuba disampaikan sama ada oleh pihak kerajaan atau pembangkang.

Tuntasnya di sini, kita lebih suka mendengar atau membaca sesuatu yang retorik berbanding isi kandungan (substance) yang benar-benar dapat membantu diri kita membuat keputusan untuk memilih masa hadapan yang lebih baik untuk negara ini.

Ternyata dari pengamatan dan penilaian yang telah saya lakukan sepanjang lebih 20 tahun menceburkan diri dalam bidang politik adalah majoriti rakyat di Malaysia masih lagi ketinggalan dalam aspek celik dan kecekapan sivik (civic literacy and competence).

Civic literacy ini adalah keupayaan seorang warganegara untuk terlibat secara efektif di dalam kehidupannya, yang mana seseorang itu peka dengan keadaan semasa, memahami proses kerajaan, mengetahui hak mereka sebagai warganegara.

Manakala civic competence pula akan membolehkan seseorang itu berupaya berfikir dan bertindak sebagai seorang ahli masyarakat yang bertanggung jawab dalam kehidupannya. Ini termasuk memahami setiap pilihan yang dibuat olehnya, dalam apa jua perkara, akan mendatangkan impak yang amat besar kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara.

Sekiranya kedua-dua elemen ini dapat diperkasakan, sudah tentu negara ini akan berupaya mempunyai masyarakat yang lebih matang dan berupaya untuk membuat pilihan yang lebih tepat dalam setiap hal, termasuk untuk memilih kepimpinan negara.

Sebagai seorang pemimpin politik dan aktivis masyarakat, secara jujurnya, saya amat menyokong usaha bagi menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Ini kerana saya percaya, anak-anak muda di zaman ini lebih terkehadapan (advance) dari segi sudut pemikiran mereka berbanding anak-anak muda 20 atau 30 tahun yang lepas.

Dengan adanya teknologi komunikasi seperti media sosial dan siaran-siaran televisyen luar negara, sudah pasti minda anak-anak muda pada ketika ini lebih terbuka kerana telahpun melihat dunia luar dan boleh membandingkan setiap isu dengan keadaan semasa di negara ini.

Tetapi, dalam menyokong usaha penurunan had umur untuk pengundi ini, saya juga percaya, kita sebagai sebuah negara perlu menyediakan silibus pendidikan demokrasi atau politik bagi mempersiapkan generasi akan datang untuk menjadi pemilih yang bermoral, bertanggungjawab dan peka kepada keadaan semasa sebelum diberikan tanggungjawab untuk memilih siapakah yang bakal menerajui pemerintahan negara.

Kematangan dalam setiap pengundi diperlukan kerana kita tidak mahu keputusan mereka untuk mengundi sesuatu parti atau individu hanya berdasarkan sentimen semata-mata. Kita mahukan para pengundi matang yang memahami iltizam untuk membina negara (nation building) bagi memperoleh sebuah institusi pemerintahan negara yang lebih baik (better nation).

Tanggungjawab bagi seorang pengundi bukanlah satu perkara yang patut diambil mudah. Sifat kematangan yang amat diperlukan ini harus disemai di dalam hati dan nurani setiap warganegara Malaysia, agar pilihan yang mereka buat adalah pilihan yang tepat bagi kelangsungan kehidupan kita semua.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia
Ahli Parlimen Ampang
Pengasas dan Penaung Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -