Agro Pelancongan beri manfaat pekebun durian kampung

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kerajaan negeri merancang mewujudkan Pusat Rekreasi dan Rehat berkongsep Agro Pelancongan di kawasan seluas kira-kira 35 hektar di Bukit Chelah Chat.

Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar berkata, projek itu akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kios pusat pengumpulan durian kampung dan dewan orang ramai.

Selain itu padang bola, kolam memancing, surau dan lokasi sebarang bentuk aktiviti sukan dan riadah,

- Advertisement -

Kata beliau kawasan berkenan berpotensi dimajukan kerana terletak di pinggir Jalan Raya Timur-Barat dan berhampiran dengan Pusat Rekreasi Jeram Linang.

“Lokasi itu sudah dikenali orang ramai sebagai pusat rekreasi yang menjadi tempat kunjungan pelancong tempatan dan luar.

“Projek berkenaan dianggar menelan kos antara RM5 hingga RM6 juta akan turut memberi manfaat kepada penduduk di 10 kampung di sekitarnya termasuk Wakaf Lichong dan FELCRA Teratak Batu,” katanya ketika ditemui pada majlis Program Vaksinasi MOVAK di Desa Alam Shah Bukit Yong hari ini.

Mohd Rodzi juga berkata, Agro Pelancongan itu juga akan memberi manfaat kepada pekebun durian kampung di kawasan berkenaan, sebelum ini terkenal pengeluaran buah-buah tempatan bermutu tinggi.

Menurutnya juga rundingan dengan pelbagai pihak termasuk Pesuruhjaya Tanah Kelantan dan anak syarikat kerajaan negeri Biotech Corporation Sdn Bhd dijalankan bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya juga program vaksinasi itu menyasarkan sebanyak 70 peratus penduduk di Dun Gaal mendapat suntikan vaksinasi pertama dan kedua menjelang Oktober kelak.

“Hari Ini seramai 700 penduduk sebilangan besar dalam kalangan golongan muda diberi suntikan vaksinasi dos pertama dan kedua,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -