Bantuan tambahan RM2.8 juta kepada pesawah di Yan, Kuala Muda

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM2.8 juta, melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah yang terkesan, akibat bencana alam yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kadar bantuan yang diberikan ialah RM1,800 per hektar, dengan keluasan maksimum tiga hektar.

- Advertisement -

“Penilaian bagi pesawah yang terlibat akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau mengumumkan perkara tersebut, selepas taklimat ringkas oleh pengurusan tertinggi mengenai situasi banjir di Kedah, pada acara simbolik mengetik kad perakam waktu secara rasmi di pejabatnya di Wisma Tani, semalam.

Ronald memaklumkan bahawa, 34.2 hektar kawasan tanaman padi di Boi, Yan yang berusia antara 75 hingga 105 hari di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), telah terjejas akibat kejadian itu.

Menurut beliau, kawasan luar jelapang yang terkesan pula adalah di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok seluas 18.4 hektar yang berusia antara 95 hingga 105 hari, dan kawasan di bawah seliaan Jabatan Pertanian melibatkan 15,759 hektar yang berusia antara 95 hingga 110 hari.

“Ini menjadikan keseluruhan keluasan yang terlibat adalah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian,” katanya.

Ronald menjelaskan, kejadian banjir berkenaan mengakibatkan hasil padi tidak dapat dituai sepenuhnya, disebabkan oleh kejadian padi rebah selepas air banjir surut dari kawasan sawah padi dan kualiti padi yang dituai juga akan terkesan, seterusnya menjejaskan pendapatan pesawah yang terlibat.

Kerajaan sebelum ini, memperuntukkan RM1.1 juta bagi membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan, yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepala air dari Puncak Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.

Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut pada Selasa lepas.

Ronald berjanji MAFI akan memperuntukkan bantuan lain daripada Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi golongan sasar dalam meneruskan kelangsungan hidup di samping menggerakkan bantuan Bakul Makanan melalui inisiatif MAFI Prihatin bagi meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana itu.

Setakat semalam, MAFI telah menyalurkan sejumlah RM4.34 juta kepada golongan sasar, yang terjejas akibat bencana alam daripada tabung berkenaan. – BERNAMA

- Advertisement -