Merdekakan diri dengan patuh kepada Allah

- Advertisement -

SATU keyakinan yang sentiasa mengiringi kehidupan seorang Muslim, ialah mereka harus sedar bahawa semua keindahan yang dapat lihat, semua keselesaan yang dapat dia rasakan, dan semua kejayaan yang dapat dia raih, itu semua adalah kurniaan daripada Allah S.W.T. Jangan sampai ada di antara kita apabila telah berjaya, lupa kepada Allah S.W.T. 

Kalau mahu membicarakan mengenai kemerdekaan, kajilah bagaimana Islam datang memerdekakan manusia dari penjajahan yang sebenarnya. Bila kita merdeka? Ketika kita bebas dari ikatan dan hamba dunia kepada semata-mata menjadi hamba kepada Allah S.W.T dan ketika kita berjaya masuk ke dalam syurga Allah S.W.T. Dunia ini kata Nabi S.A.W yang bermaksud:

- Advertisement -

“Dunia ini penjara buat orang yang beriman. Dunia ini syurga buat orang yang kafir.

(Hadis Riwayat Muslim)

Bagi seorang Mukmin, dunia ini tidak lebih dari sebuah penjara, di mana dia tidak bebas melakukan sesuatu semahunya kerana ada peraturan atau syariat yang menghalangnya. Kesenangan yang diidamkannya mesti dalam batasan syariat Allah S.W.T.

Dan seandainya dia melanggari setiap peraturan yang menghalang itu, dia akan jatuh ke lembah dosa dan penyesalan yang berpanjangan, maka tempahlah tiket ke neraka. Dan bagi orang kafir, dunia adalah syurga kenikmatannya kerana dia tiada peraturan yang menghalangnya dari melakukan apa sahaja yang diinginkannya.

Setiap apa yang kita hendak beli, sama ada berupa makanan atau pakaian dan apa sahaja mestilah sesuatu yang halal di sisi agama dan tinggalkan sesuatu yang haram. Kenapa? Sebab kita orang beriman. Dalam kehidupan ini ada peraturan yang sudah ditetapkan oleh Allah S.W.T maka kita mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, mesti tunduk taat untuk melaksanakannya. Itu lah maksudnya, dunia ini penjara bagi orang beriman.

Contohnya ada seorang wanita cantik lalu di hadapan kalian, boleh tak melihatnya? Boleh! Kalau ianya isteri kalian. Kalau bukan, ada peraturan yang mesti kalian taati. Dan sebahagian orang ingin cepat kaya dan ada tawaran diberikan kepada kalian dengan modal sebegini dan sebegitu. Apa yang harus kalian lakukan? Lihatlah semula adakah caranya bercanggah dengan syariat Islam. Seandainya bercanggah maka tinggalkan kerana kalian orang yang beriman. Dan seandainya, ketika kalian sedang makan, tiba-tiba kedengaran laungan azan, kalian harus sedar bahawa waktu solat sudah masuk, bermakna ada tuntutan yang wajib kalian lakukan.

Namun apa sahaja yang kalian lalui di muka bumi ini, baik berupa kesusahan atau kesenangan, akan menjadi kenikmatan semuanya seandainya kalian memandang semuanya itu dengan kaca mata pandangan Allah S.W.T. Setiap orang beriman mesti sentiasa kena ingat bahawa dunia ini adalah tempat ujian bagi kalian:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

(Al-Baqarah: 155-157)

Janji Allah S.W.T, Dia pasti akan menguji para hamba-Nya dengan berbagai macam ujian. Tujuannya, agar jelas siapa yang benar dan dusta dalam Imannya. Ujian bukan untuk menghilangkan keimanan seseorang dan mengeluarkan seseorang dari agamanya kerana Allah tidak akan menyia-nyiakan keimanan hamba-Nya.

Rasulullah S.A.W telah membenarkan hijrah ke Habasyah di bawah pimpinan Jaafar bin Abi Thalib, untuk melarikan diri dari penyeksaan orang kafir Musyrikin Makkah ke atas para Sahabat yang sudah masuk Islam. Mereka meminta perlindungan daripada pemerintahan yang dipimpin Raja Najasyi, seorang Kristian yang soleh.

Apakah orang-orang Musyrikin Makkah membiarkan orang-orang Islam hijrah? Tidak! Jadi ketakutan masih menghantui fikiran kaum Muslimin. Mereka telah mengutus beberapa orang utusan di bawah pimpinan Amr bin Ash untuk menghadap Raja Najasyi. Kenapa? Tujuannya agar Raja Najasyi bersedia menyerahkan kepada mereka orang-orang Islam yang meminta perlindungan itu untuk terus menyeksa mereka.

Akhirnya setelah tiba di sana, Ammar telah menyogok pendeta-pendetanya, sebelum sampai ke rajanya supaya menyokong permintaan Amr bin Ashr. Apabila mereka telah mengadap Raja, mereka meminta agar dikembalikan semua orang-orang Islam dan jangan ditinggalkan di sini kerana akan merosakkan agama orang-orang di sini. 

An-Najasyi lalu mengatakan:“Orang yang masuk ke dalam negeriku, aku akan berikan mereka keselamatan, dan akan aku dengarkan dahulu apa yang akan dikatakan oleh wakil orang Islam, Jaafar bin Abi Thalib.” 

Maka dipanggil Jaafar bin Abi Thalb dan disuruh menceritakan kedudukan Islam, agama yang mereka anuti, “Wahai raja, kami ini sebelumnya adalah kaum jahiliah, kami menyembah berhala-berhala, Lalu Allah S.W.T telah mengutus Rasul-Nya. Kami mengenal betul keperibadian, kejujuran dan kesucian perilakunya

“Dia mengajak kami supaya memeluk agama Allah S.W.T, mengesakan Allah S.W.T, serta meninggalkan kepercayaan nenek moyang kami yang menyembah batu dan berhala. Kata Jaafar. Dia menyuruh kami selalu menjaga amanah, menghubung silaturahim, bersikap baik dengan jiran tetangga, menghentikan semua perbuatan buruk dan pertumpahan darah.

“Kami menerima segala perintahnya dan menjauhi larangannya,” 
katanya lagi.

Namun jawapan dari kaum Muslimin, masih belum memuaskan hati raja. Dia lebih tertarik untuk tahu mengenai bagaimana ajaran Rasulullah S.A.W yang berhubung dengan Nabi Isa dan Ibunya. Bolehkah kamu menerangkan kepada saya apa-apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

Jaafar kemudian membacakan Al-Quran surah Maryam ayat ke 14 yang bermaksud: 

“Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.”

(Maryam: 14)

Belum selesai ayat tersebut dibacakan, air mata Raja Najasyi sudah berderai haru. Pada pendeta kerajaan pun menitiskan air mata kerana hati mereka terpesona dengan keindahan ayat tersebut.

Sesungguhnya agama yang dibawa oleh kalian dan saya adalah sama dan dari sumber yang satu, kata Raja Najasyi kepada Jaafar bin Abi Thalib. Bagaimana pendapatmu mengenai Isa bin Maryam, Tanya Raja Najasyi.

Kami mempercayainya sebagaimana yang telah diajarkan Nabi S.A.W kepada kami sebagaimana sabda Beliau S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya Isa adalah hamba Allah S.W.T dan Rasul-Nya, ruh-Nya, firman-Nya yang ditujukan kepada Maryam yang sentiasa perawan suci,” jawab Jaafar dengan tenang.

Selepas mendengar jawapan itu, Raja Najasyi berkata, “Tidak ada perbezaan walau sedikit pun antara ajaran Isa bin Maryam dan Nabi kalian.” Kemudian Raja Najasyi meminta Amr bin Ash dan kawan-kawannya agar berhenti mengganggu orang-orang Islam. Dan mereka diarahkan segera meninggalkan Habasyah. Pergilah kalian semua kerana Allah dan saya tidak akan menyerahkan orang-orang Muslim kepada kalian. Sepuluh tahun lamanya orang-orang Islam hidup damai di Habasyah.

Inilah erti kemerdekaan yang sebenarnya, ketika seseorang itu dari awalnya menyembah berhala, dari awalnya tunduk kepada nafsunya, yang dari awalnya diperbudak oleh syaitan, kemudian dia boleh berubah kepada beribadah kepada Allah S.W.T dan dia dapat menguasai nafsunya. Jadi kalian adalah orang yang merdeka tetapi masih ada orang-orang yang belum merdeka walaupun di negeri yang sudah mengumumkan kemerdekaannya. Mereka masih diperbudak oleh dunia dan nafsu mereka sendiri.

Jaafar bin Abi Thalib menjelaskan semuanya itu untuk menolak semua tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pihak atasan kafir Musyrikin Makkah kepada mereka. Dan Jaafar bin Abi Thalib ingin memberitahukan maklumat mengenai Islam yang sebenarnya kepada Raja Najasyi. Kerana ramai orang membenci Islam kerana mereka tidak kenal dan tidak diberitahu mengenai apa itu Islam dan cara hidup Islam itu sendiri. 

Jadi sebagai seorang Muslim, jangan kita sampai membiarkan orang-orang di luar sana melihat buruk kepada Islam. Islam mesti didakwahkan, ceritakan semua mengenai kebaikan-kebaikan Islam itu sendiri, maklumat mengenai Islam itu sendiri mesti disebarkan sehingga orang dapat melihat kebaikan dan keindahan Islam itu:

“Dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda, “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba pakaian dan pakaian ini diperbuat dari sutera. Jika diberi, dia suka tetapi jika tidak diberi, dia marah.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah ciri-ciri orang yang disebut hamba atau budak harta. Hadis ini, Nabi nak pesan bahawa jangan biarkan harta menguasai diri manusia sehingga sanggup menghalalkan yang haram demi untuk mendapatkan apa yang dia inginkan kerana dia telah dikuasai olehnya. Dan inilah yang sangat mengkhuatirkan Nabi S.A.W seperti dalam Hadis Beliau S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada setiap umat ada fitnah (Ujiannya) dan fitnah umatku adalah harta.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi masih ada orang-orang yang belum merdeka kerana dia diperbudak oleh duit dan hartanya sendiri, dia itu menuruti duitnya bukan duitnya menuruti dia. 

Ada orang-orang memenuhi keinginannya untuk membeli itu dan ini. Contohnya, ada wanita di kalangan ibu-ibu, apabila disuruh membeli baju, mereka akan membeli lengkap dengan kasut, beg tangan dan sebagainya, yang kekadang semuanya itu dibeli serba bersesuaian antara satu sama lain.

Ada juga yang masih menghabiskan masa semata-mata melihat iklan terkini itu ini setiap hari di internet. Bila sudah tengok akan lahir rasa keinginan dan akhirnya ingin membelinya dan membeli lagi, sedangkan yang sudah ada di rumah melebihi dari keperluan dan cukup.

Tetapi di ketika kita sudah tersedar dan insaf akan kesilapan ini maka kembalilah kepada dunia realiti dan meninggalkan semua ini, untuk memerdekakan diri dari belenggu nafsu yang tidak pernah rasa puas dengan apa yang ada. Merdekakan diri dan jangan menjadi hamba kepada harta dan dinar.

Boleh mencari harta sebanyak-banyaknya tetapi untuk kita gunakan membina mahligai kita di syurga. Kenapa? Kerana dunia ini cuma sementara, jadi kenapa mesti terlalu terleka dan tertipu daya:

“Dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda, “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba pakaian dan pakaian ini diperbuat dari sutera. Jika diberi, dia suka tetapi jika tidak diberi, dia marah.””

(Hadis Riwayat Bukhari)

Dan Nabi S.A.W mengatakan bahawa kalau mereka ini diberikan kesenangan dan dia sangat terasa amat bahagia dan sangat suka, tetapi kalau tidak diberi marah-marah, kenapa? Kerana impiannya dunia. Tetapi seandainya impiannya akhirat, kalau diberi kesenangan, dia berbagi-bagi dengan orang lain selain dari keperluannya dan kalau dia tidak dapat, dia tetap bersyukur dengan Allah S.W.T.

Kenapa Nabi menyatakan begitu? Sebab mereka bukan orang-orang yang merdeka walaupun dia bebas untuk pergi ke mana pun yang dia suka. Mereka diperbudak. Buktinya apa? Di waktu manusia menjadi hamba harta dan dinar, manusia akan menghalalkan segala cara untuk mendapatkannya dan dia sudah tidak peduli status harta tersebut. Apakah ianya syubhat, haram atau halal, yang penting, dia mesti mendapatkannya. Bukankah ini sudah terbukti dia sudah menjadi hamba pada keinginannya dan menyerahkan dirinya, melakukan apa sahaja demi mendapatkan dan mengejar harta dan dinar. Dan jelasnya diri mereka sudah tidak merdeka. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Berapa banyak orang yang rambutnya kusut masai berdebu, ditolak di depan pintu serta tidak layak dipedulikan namun sekiranya ia bersumpah kepada Allah S.W.T, nescaya Allah mengkabulkan sumpahnya…”

(Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang tidak dikenali dan tidak pula ada orang menyedari kehadirannya. Dia tidak menonjol di kalangan manusia kerana alasan tertentu, tujuannya semata-mata kerana Allah S.W.T. Mereka tidak pernah berhenti berbuat amal kebajikan dan amal soleh. Mereka pula tidak disebut-sebut di kalangan manusia sebagaimana mereka tidak membataskan amal mereka untuk manfaat manusia. Penduduk bumi tidak peduli dengan dia dan manusia tidak mahu menolong dia tetapi bukan Allah S.W.T. Kalau orang ini meminta kepada-Nya, Allah S.W.T akan kabulkannya. 

Inilah orang yang merdeka. Ketika dia meletakkan hidupnya, sandarannya dan perhambaannya semata-mata kepada Allah S.W.T dan bukan kepada manusia. Dan ketika ikrarnya sentiasa seperti ungkapan di bawah:

“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(al-An’am: 162)

Semuanya untuk Allah S.W.T. Jadi, bermujahadahlah wahai semua, berusaha untuk memerdekakan setiap diri dari segala yang menyebabkan kalian terkongkong, kalian terikat dan kalian terantai maka jadilah kalian orang yang bebas merdeka, bebas sebagai hamba Allah S.W.T. Ya Allah!, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah.

Lihatlah Nabi Ibrahim, Beliau tidak diperintahkan untuk berkorban unta atau lembu tetapi Beliau diperintahkan Allah S.W.T untuk menyembelih anaknya tercinta. Nabi Ibrahim dan anaknya sendiri menunjukkan keteguhan, ketaatan dan kesabaran mereka dalam menjalankan perintah itu. Putera yang Beliau tunggu selama puluhan tahun sehingga Beliau sudah sampai ke usia sangat tua baru Allah S.W.T kurniakannya seorang anak. Suatu hari datang perintah melalui mimpi Beliau untuk mengujinya, adakah dia hamba Allah S.W.T atau apakah dia hamba dunia? Nabi Ibrahim turun ke Makkah, sesudah bertahun-tahun tidak menziarahi putera dan isterinya. Ismail di masa itu sudah remaja. Mereka berpelukan melepas kerinduan masing-masing. 

Keesokannya, Nabi Ibrahim bercerita kepada puteranya dan ini dikisahkan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.”

Maka kemudiannya, Nabi Ibrahim memeluk puteranya Ismail seraya mencium pipinya dan berkata, “Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah S.W.T, berbakti kepada kedua orang tuanya dengan seikhlas hati dan menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah S.W.T:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).”

(Ash-Shafaat: 102 – 103)

Kedua-duanya adalah hamba Allah, bukan hambanya dunia. Mereka telah berjaya melaksanakan perintah Allah S.W.T yang berat tersebut. Inilah jiwa manusia yang merdeka. Allah tidak menerima binatang korban kalian, tetapi yang Allah S.W.T terima adalah ketakwaan kalian dan penerimaan kalian ke atas setiap perintah-Nya:

“Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;”

(Ash-Shafaat: 104 – 107)

Inilah bukti seorang yang merdeka, semua yang dilakukannya semata-mata kerana Allah S.W.T dan dia bukan seorang hamba harta dan dinar.

Kesimpulan

Warga yang merdeka, ibu dan ayah yang merdeka dan anak-anak yang merdeka mesti:

1. Bebas merdeka daripada pengaruh dunia iaitu harta dan dinar. Berkhidmat semata-mata kerana Allah S.W.T, kerana kita adalah hamba.

2. Bebas merdeka daripada belitan iblis dan syaitan.

3. Bebas merdeka daripada pengaruh hawa nafsu dan maksiat.

“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Ali-Imran: 35)

Jadi setiap apa sahaja yang kita laksanakan di dalam kehidupan kita di dunia ini, sama ada kita sebagai seorang hamba, sebagai seorang individu, sebagai seorang ahli keluarga, sebagai seorang anggota masyarakat dan rakyat kepada sebuah kerajaan, mestilah sesuai dengan syariat. Setiap yang tidak melanggar syariat, laksanakan dan setiap yang melanggar syariat, tinggalkan. Inilah orang yang berjiwa merdeka: 

“Dari Abu Hurairah, Nabi S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (Akhlak dengan Allah S.W.T dan manusia)””

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 31/8/2021

- Advertisement -