Rakyat diancam penjajahan bentuk baharu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sambutan kemerdekaan negara tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tidak menghayati ertinya yang sebenar.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukan sekadar retorik atau semata-mata pengkisahan semula peristiwa lama yang ada dalam lembaran sejarah negara.

- Advertisement -

“Kemerdekaan yang sebenar adalah membabitkan jiwa serta minda setiap orang dan kesedarannya harus dipupuk menerusi pembinaan jati diri.

“Sebagai rakyat sebuah negara yang sudah mencapai 64 tahun kemerdekaan, perlu menghayati makna sebenar erti merdeka,” kata pada satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga pada zaman sekarang rakyat diancam dengan penjajahan dalam bentuk baharu yang dipacu kepesatan perkembangan teknologi.

“Penjajahan bentuk baharu jika tidak ‘divaksin’ dengan kesedaran dan jati diri dikhuatiri boleh membawa bangsa dan negara kita terjajah
semula,” katanya.

Oleh itu, jelas beliau empat aspek teras iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa merupakan asas sebagai benteng terhadap ancaman penjajahan dalam bentuk baharu.

“Melalui empat teras itu makna dan nilai kemerdekaan yang sebenar dapat diterapkan dalam hati sanubari setiap anak bangsa,” tambahnya.

Ujar menteri besar lagi mereka yang pernah berjuang dengan bersabung nyawa menentang penjajahan, kebanyakannya sudah tidak ada lagi.

Oleh itu di tangan anak-anak merdeka sekarang dipertaruhkan kesedaran bagaimana mahu mencorakkan tanah air tercinta pada masa hadapan.

“Sama-samalah kita hayati makna kemerdekaan dalam erti kata sebenar dan terjemahkan penghayatannya melalui sikap dan amalan kita supaya menepati ciri-ciri seseorang yang merdeka,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -