Rawat rakyat guna mukjizat luar biasa

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA LUMPUR: Lebih 20 juta penduduk Islam di negara ini perlu bangkit menjadi model untuk merawat rakyat dengan mukjizat luar biasa iaitu al-Quran.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Dato’ Hussamuddin Yaacub berkata, jumlah penduduk Islam itu daripada 32.7 juta rakyat Malaysia perlu berinteraksi dengan al-Quran.

- Advertisement -

Katanya sebagai orang Islam walau dalam apa keadaan sekalipun seorang Muslim tidak mengenal erti putus asa.

Kata beliau cabaran yang datang adalah peluang untuk kita menjadi lebih baik dan kental jiwa.

“Jiwa yang merdeka, meyakini bahawa selagi hidup, kita ada rezeki dan peluang yang Allah berikan untuk menguruskan kehidupan dan negara ini dengan lebih baik.

“Kualiti dan watak ini amat penting agar kita terubat dan bangkit membina negara tercinta ini. Semoga zikir dan solat dapat membina karakter mantap warga Malaysia yang merdeka.

“Kita berharap rakyat dalam negara ini akan dibentuk dengan nilai yang teguh dengan panduan al-Quran bagi membina Keluarga Malaysia,” katanya pada program ‘Malaysia #QuranHour yang bersiaran langsung dari studio TV Al-Hijrah hari ini.

Malaysia #QuranHour tahun ke-7 itu membawa solusi melalui surah Al-Mulk dan surah Musabbihat sebagai formula menuju Malaysia Berbudi dan Penyayang, menjelang Hari Kebangsaan 2021.

Hussamuddin turut mengucap penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri atas sokongan Malaysia #QuranHour dalam membina Keluarga Malaysia yang berbudi dan penyayang.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran meneroka formula daripada Surah Al- Mulk melalui tadabbur al-Quran.

Menurutnya, Surah Al-Musabbihat adalah surah yang dimulakan dengan tasbih iaitu puji syukur kepada Allah.

“Surah terakhir dalam tujuh surah ini, Surah Al-A’la membawa makna Yang Paling Tinggi. Pada ayat 14 dan 15 dalam surah yang sama, ia membawa solusi daripada Ilahi agar kita zikir dan solat.

“Pelaksanaan #QuranHour bagi dua tahun terakhir ini berlaku dalam musim pandemik Covid-19. Pada tahun ini, kes kematian yang tinggi berbanding tahun lepas,” katanya.

Tahun ini hampir semua media utama termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Harakah, Nu Ideativ, IKIMfm, Zayan FM, News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com terus menyokong pelaksanaan Malaysia #QuranHour. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -