PERMATA ALQURAN mohon perhatian nasib institusi tahfiz

- Advertisement -

PERSATUAN Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA ALQURAN) sangat cakna dengan pelbagai kenyataan di dalam media berkaitan institusi Tahfiz sejak kebelakangan ini antaranya:

a. Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Perak (PEMATAP) Tuan Hj Mohd Azlan Hj Suhaimi di dalam Utusan Online tarikh 24 Ogos 2021 kenyataan ‘60 buah Maahad Tahfiz Al-Quran swasta Negeri Perak di ambang kritikal menjelang September 2021’.

- Advertisement -

b. Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) iaitu P.U Muhammad Hafeez Mohd Haneefa di dalam Utusan Online tarikh 24 Ogos 2021 ‘Pusat Tahfiz tiada wang bayar Gaji 8,000 guru sebab yuran tertunggak’.

c. Kenyataan Y.Bhg Datuk Adnan Hasyim pada 25 Ogos iaitu ‘Dianggarkan 10 peratus pusat Tahfiz seluruh negara terancam”.  

Sehubungan itu PERMATA ALQURAN ingin membuat penjelasan berkaitan isu tersebut mewakili maahad-maahad tahfiz persendirian seluruh Malaysia iaitu;

1. Maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIN atau JAKIM berjumlah hampir 1,198 buah, murid berjumlah 84,643 orang dan guru berjumlah 10,357 orang. Statistik dari dapatan Kajian Dasar Pengurusan Dan Kurikulum Maahad Tahfiz, oleh USIM atau UPSI. 

Pihak kerajaan sama ada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah banyak membantu secara one off kepada maahad-maahad tahfiz seluruh Malaysia. 

Walau bagaimanapun sejak Mac 2020 apabila berlaku Ancaman Pandemik COVID-19 antara yang terjejas teruk iaitu Maahad-maahad Tahfiz swasta seluruh Malaysia. Satu kajian oleh PERMATA ALQURAN kepada 512 buah maahad pada 30- 31 Mei 2021 melalui Google form kajian PKP 3.0 dapatan seperti berikut:

a. 64.7 peratus Maahad Tahfiz terpaksa ditutup operasi atas arahan kerajaan. 
b. 11.7 peratus maahad memberhentikan sepenuh kakitangan.
c. 52 peratus maahad hanya mampu membayar separuh gaji pekerja. 
d. 34.4 peratus maahad hanya mampu bertahan tidak lebih 3 bulan. 
e. 38.1 peratus maahad tidak menerima bantuan JAKIM.
f. 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang akibat ibu bapa tak berkemampuan.  

2. Maahad Tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami Al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic. Oleh ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan malah penutupan operasi maahad melalui beberapa saranan iaitu:

a. Mohon pihak kerajaan membantu menyalurkan bantuan perkapita (Bantuan khas) untuk kakitangan (guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja Am).

b. Menyalurkan bantuan segera peralatan PDPR serta bayaran talian (wifi) kepada ibu bapa yang bermasalah.

c. Mohon dibenarkan beroperasi mengikut SOP.

3. Pihak PERMATA ALQURAN ingin merayu kepada YAB Perdana Menteri Malaysia serta YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, Menteri-menteri Besar, JAIN  dan MAIN agar membantu maahad-maahad tahfiz di seluruh Malaysia dari terancam dan menutupkan operasinya.

MANOLITO MOHD DAHLAN 
Presiden
PERMATA ALQURAN Malaysia – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -