Percepat program Jendela agar PdPR tidak terjejas

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

MACHANG:
Kerajaan negeri berharap pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (Jendela) dapat dipercepatkan kepada hanya setahun supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak terjejas.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata kebergantungan masyarakat termasuk pelajar terhadap rangkaian Internet sangat tinggi.

- Advertisement -

Lebih-lebih katanya, ketika negara sedang menghadapi penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan norma baru menyebabkan Internet kini sudah dianggap sebagai salah satu keperluan penting selain elektrik dan air.

“Cumanya kalau boleh dua tahun yang disasarkan oleh kerajaan melalui program Jendela ini, ketika pandemik ini banyak kerja kita bergantung kepada talian internet terutamanya pelajar terpaksa mengambil PdPR.

“Jadi harapan kita agar dua tahun ini dapat disingkatkan supaya program Jendela seluruh Kelantan ini dipercepatkan, jangan sampai dua tahun sebab keperluan Internet ini sangat mendesak sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) ke Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Temangan, semalam.

Terdahulu Adun Temangan mendengar taklimat perkembangan program Jendela bagi Dun Temangan yang disampaikan oleh Pengarah SKMM Kelantan, Abdul Mubin Mohd Zain, turut hadir Pengurus Besar KIGSB, Mohd Roslan Mohd Zin.

Rombongan tersebut turut dibawa melawat sebuah menara baru yang dibina di bawah program Jendela dan sudah beroperasi sepenuhnya di Kampung Jakar, serta meninjau masalah liputan telekomunikasi di Kampung Temangan Lama.

Bagi Dun Temangan katanya, sebanyak tiga buah menara termasuk di Kampung Jakar, Pangkal Meleret dan Pangkal Mak Wan sudah beroperasi sepenuhnya, sembilan naik taraf dari rangkai 3G kepada 4G dan satu menara akan dibina.

“Tujuan lawatan ini untuk memberikan taklimat kepada kami Dun Temangan mengenai perkembangan sistem telekomunikasi di Kelantan, saya sangat gembira dan puas hati dengan perkembangan yang disampaikan oleh SKMM Kelantan.

“Sekarang ini 94 peratus liputan dengan program Jendela ini, target kita akan dapat capai sehingga 96.7 peratus bagi fasa pertama, untuk sampai 100 peratus, kita dapat siapkannya untuk fasa kedua nanti,” katanya.

Pada akhir Ogos tahun lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Jendela di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peruntukan RM747 juta bagi menyediakan liputan jalur lebar berkualiti tinggi.

Usaha itu akan memastikan rangkaian jalur lebar mudah alih 4G meliputi 96.9 kawasan berpenduduk di negara ini dengan pelan yang dilaksanakan secara berperingkat antara 2020 hingga 2022 bagi menyediakan teknologi 5G di negara ini.

Di bawah prgram Jendela, sebanyak 77 menara telekomunikasi baru akan dibina seluruh Kelantan serta 934 pencawang telekomunikasi akan dinaiktaraf daripada rangkaian 3G kepada 4G seterusnya 5G sehingga akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -