Panggil ‘Puan’ kepada tukang sapu kerana adab, akhlak

- Advertisement -

SEKIRANYA anda mempunyai kes di Mahkamah Shah Alam, selalunya anda perlu parking di luar kawasan Mahkamah kerana dalam pukul 7:30 pagi (sebelum COVID-19), ruang parkir mahkamah sudah penuh. Jadi perlulah anda menapak naik tangga Mahkamah yang tinggi di atas bukit. Nak tahu anda fit atau tidak, cubalah tangga tersebut.

Pagian, akan ada beberapa wanita menyapu perkarangan tangga. Selalunya, tiada siapa tegur mereka. Kadang-kadang pelawat hanya langgar sahaja laluan yang sedang disapu kerana faham sahajalah, mereka nak cepat dan kejar masa Mahkamah.

- Advertisement -

Melihatkan kepada situasi tersebut, saya suka menegur mereka, wanita yang diupah untuk bersih tangga. 

“Assalamualaikum puan…”

“Minta lalu ya puan… terima kasih.”

“Sihat hari ni puan…?”

Saya sengaja tekankan perkataan ‘Puan’. Reaksi yang saya terima, daripada hanya tunduk memandang lantai, mereka angkat muka dan senyum. Membalas balik sapaan. Saya pula rasa puas hati sangat kalau dapat buat begitu. Dan barulah saya tahu, bahawa mereka bukan semuanya pekerja asing. Ramai juga warga tempatan.

Jangan silap faham. Pangkat tidak penting bagi saya. Namun, pada setiap masa apabila berhadapan dengan orang ramai atau bertemu dengan orang yang saya tidak kenali, saya suka membahasakan mereka sebagai encik atau puan kerana itu penghargaan kepada mereka. Kita tidak tahu siapa mereka di sisi Tuhan sekalipun tiada pangkat Datuk Datin Profesor atau Doktor. Pada masa yang sama, ia menghiaskan kita dengan adab dan akhlak antara satu sama lain.

Saya tak pernah panggil ‘cik kak’ pada penjual stoking lengan di Aeon Mall. Saya panggil puan. Sebab saya bimbang kalau dia sebenarnya adalah pemilik kiosk yang mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada saya! Saya pernah keluar bersama sama rakan sekerja ketika bekerja dengan sebuah GLC pada waktu rehat. Kami pergi Mammoth Empire. Faham fahamlah, Mammoth Empire Subang bukan kedai calang-calang .

Kami pergi pun window shopping saja. Maklumlah nampak sahaja glim glam kerja pejabat, tapi gaji ciput masa itu… hahaha. Sampai di sebuah kedai serba-serbi cotton, rakan saya ini seronok sangat window shopping dan nak dilayan dengan sebaiknya walaupun tak membeli. Yang itu tak apa-lahkan, apa salahnya berkhayal. Tetapi yang membuatkan saya tergamam dan ‘cringe’ sehingga sekarang ialah apabila rakan saya itu memanggil wanita yang melayan dia sebagai ‘girl’.

“Girl… yang ni berapa girl”

Nak pengsan saya dibuatnya. Nampak perubahan air muka wanita tersebut dan memang kami tidak dilayan lagilah!

Dari gaya wanita tersebut, saya yakin beliau adalah pemilik butik. Aduh. Sejak hari itu saya jadi fobia dengan siapa saya keluar waktu lunch. Saya lebih rela keluar sendiri dan menikmati waktu lunch tanpa risau sikap orang lain menjejaskan imej saya yang tidak dikenali sesiapa pun… hahaha.

Saya suka mereka yang bersikap menghargai. Saya suka menghargai. Saya panggil puan kepada peguam muda saya di hadapan klien saya supaya mereka membahaskan pangkat yang sama terhadap kerajinan dan usaha peguam muda saya. Poin saya ialah kita tidak tahu dengan siapa kita berbicara walaupun beliau tiada pangkat Datuk Datin Prof Dr.

NURHIDAYATY MAIDIN
Peguambela & Peguamcara
Ahli Jawatankuasa Muslimat Legal Team (MUSLET)
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY30/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/564736986/posts/10157978094321987/

- Advertisement -