Ustaz Wan Ismail kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yang Dipertua (YDP) PAS Ketereh Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Anaknya Wan Abdul Hakim berkata, ayahnya menghembuskan nafas terakhir tengah hari.

“Saya dan seluruh ahli keluarga memohon sahabat-sahabat supaya mendoakan jenazah ayahanda kami dipermudahkan segala urusannya yang akan ditempuhi di alam sana.

- Advertisement -

“Semoga ayahanda kami tergolong dalam golongan yang Allah reda, dan diletakkan bersama para anbiya’, syuhada’ dan para solihin,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Wan Ismail juga merupakan bekas Adun Melor dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertugas sebagai Menteri Besar.

Sebelum itu beliau bekerja sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam sebelum kembali ke Kelantan, berkhidmat di Pejabat Menteri Besar.

Sementera itu Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham.

“Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya di sini.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Adun Melor selama dua penggal iaitu 1999-2004 dan 2008-2013.

Sebelum ini tular di media sosial Allahyarham yangjuga Timbalan Pengerusi Assabiqun Kelantan dijangkiti Covid-19. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -