Penyeludupan haiwan lebih kerap ketika pandemik

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sebanyak 25 kes penyeludupan membabitkan nilai rampasan lebih RM1.2 juta dalam tempoh 10 hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Superitenden Mat Shukor Yusof berkata, daripada jumlah berkenaan, lebih RM698,000 membabitkan rampasan barangan manakala RM526,000 lagi nilai kenderaan yang dirampas serta disita.

- Advertisement -

“Antara rampasan berkenaan seperti bongkah kayu sarang kelulut, karkas babi hutan, cecair vape, beras dan pelbagai jenis dadah,” katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA Lubok Stol di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama kata beliau rampasan membabitkan penyeludupan haiwan peliharaan dan eksotik di sempadan negara lebih kerap berlaku di sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, terdapat beberapa kes berjaya ditumpaskan anggota PGA membabitkan penyeludupan haiwan berkenaan yang disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia.

Malah beliau berkata, kekerapan penyeludupan haiwan peliharaan dan eksotik dipercayai berlaku disebabkan pemintaan yang tinggi dalam kalangan ‘pet lovers’ (pecinta binatang), selain nilai lebih murah ditawarkan di negara jiran.

Tambahnya lagi, pihaknya juga mendapati haiwan berkenaan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, sebaliknya juga untuk pelanggan di luar Kelantan.

Beliau berkata, sepanjang PGA8 mengambil alih tugas Ops Benteng Covid-19 bermula 16 Ogos lalu, pihaknya turut menumpaskan penyeludupan kuda.

“Pihak PGA8 turut menumpaskan cubaan menyeludup sebanyak 19 ekor anak anjing bernilai RM66,000 dalam kejadian berdekatan Pos Pok Teh Kana, Jeram Perdah 18 Ogos lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -