Peltzmen Effect

- Advertisement -

PERANGAI Maknga ataupun bahasa orang putih namanya The Peltzman Effect menerangkan mengapa di kalangan yang sudah divaksin sekalipun juga turut dijangkiti COVID-19.

Apa itu perangai Maknga (Peltzman Effect)?

Seorang ahli ekonomi bernama Sam Peltzman yang membuat teori ini dari sudut ekonomi pada tahun 1998 dahulu di mana terdapat pemain-pemain dalam industri ekonomi telah mula menceburkan diri dalam pelaburan yang berisiko tinggi, kerana mendapat jaminan dari pihak kerajaan bahawa mereka akan dilindungi kerajaan.

- Advertisement -

Konsep yang sama terhadap individu yang menaiki kenderaan dengan menganggap apabila sudah pakai tali keledar atau topi keledar, maka bolehlah memandu dengan cara-cara yang berbahaya. Mereka menganggap dengan adanya jaminan perlindungan seperti topi atau tali keledar, maka mereka 100 peratus selamat dari tidak mengalami kemalangan ataupun maut. Inilah Maknga namanya ataupun alpha atau leka.

Vaksin adalah salah satu daripada kaedah ikhtiar mencegah selain daripada penjagaan SOP dan seumpama dengannya. Ianya bukan bahan ajaib ataupun maksum ataupun mukjizat. Jangan berperangai seperti Peltzman Effect ini!

Kita kena ingat fakta-fakta berikut:

1. Imuniti selepas cucuk tidak terbentuk terus. Ianya akan mengambil masa yang tertentu untuk antibodi terbentuk. Macam orang baru kahwin, tak akanlah kahwin hari ini esok terus dapat anak? Sabarlah. 

2. Imuniti itu bukan segala-galanya mutlak (absolute). Kaedah pencegahan lain perlu dilakukan selagi wabak masih berada dalam komuniti. Jangan wewenang lepas bebas mentang-mentang dah vaksin. Risiko tetap wujud.

3. Tidak semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama dan tidak semua individu mendapat peratusan yang sama. Bergantung kepada diri masing-masing. Namun takkan kita tak nak ambil terus? Manfaat vaksin lebih tinggi dari risiko. Kalau kita tak dapat semua janganlah tinggal semua.

4. Timbulnya varian baharu yang sudah pasti vaksin yang digunakan sekarang tidak sama keberkesanannya terhadap virus asal. Walaupun terdapat kajian-kajian yang meyakinkan ianya berkesan, tetapi sejauh mana? Dengan ilmu perubatan yang dinamik, kita doakan kejayaan keluar dari wabak.

5. Antibodi yang diperolehi melalui jangkitan semulajadi atau vaksinasi akan menurun mengikut garis masa. Tidak mustahil kalau wabak ini berterusan kita akan dicucuk untuk dos yang ke-3 dan seterusnya. Tiada masalah pun. Isu ini bukan sesuatu yang besar, sebab sebelum daripada ini pun vaksin seperti Influenza, Meningokokal, Taifoid, boleh saja dicucuk berulang kali.

6. Bagi mereka yang masih belum divaksin atau tolak vaksin, adalah kumpulan yang masih unggul mendominasi kes-kes teruk di hospital mahupun kematian. Bukti boleh dilihat seluruh dunia sekarang ini.

Yang penting bagi isu ini adalah kita jangan terlalu leka dan Maknga selagi kita tidak keluar daripada pandemik ini dalam tempoh yang terdekat.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 25/8/2021

Rujuk: https://pmj.bmj.com/content/early/2021/04/28/postgradmedj-2021-140234

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1033106371/posts/10223474436782411/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -