Sentuhan peribadi PM ubati mangsa rempuhan kepala air

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap menyambung perjuangan ‘Abah’ yang begitu prihatin terhadap nasib rakyat terutamanya mereka yang dilanda musibah.

Situasi tersebut terbukti apabila peruntukan sebanyak RM75 juta diumumkan perdana menteri semalam bagi membaiki kerosakan akibat bencana kepala air Gunung Jerai di daerah Yan dan Merbok.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengumuman itu membuktikan keprihatinan perdana menteri (PM) terhadap situasi yang berlaku di dua daerah terbabit.

- Advertisement -

Katanya, perdana menteri juga memilih tempat bencana sebagai lokasi turun padang selepas hari pertama memasuki pejabatnya di Putrajaya semalam.

“Perdana Menteri bertemu dan memberi nasihat kepada mangsa kejadian itu sangat dikagumi ramai.

“Nasihat dan sentuhan peribadinya kepada mangsa terlibat secara tidak langsung boleh meredakan sedikit kesedihan yang mereka tanggung,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam perdana menteri meninjau beberapa lokasi yang terjejas sekitar Merbok termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Tupah.

Selain itu mengikuti taklimat bencana yang disampaikan Menteri Besar Kedah di Bilik Gerakan, Titi Hayun.

Pada lawatan itu Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian terbabit.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri merakam ucapan terima kasih di atas kesudian perdana menteri meninjau sendiri bagi melihat dekat kesan-kesan bencana rempuhan kepala air dari Gunung Jerai.

Katanya juga peruntukan RM3 juta di bawah Kementerian Luar Bandar dapat dimanfaatkan bagi membaik pulih rumah penduduk yang rosak dan terjejas.

Agensi Bantuan Bencana (NADMA) pula akan menyumbang sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terlibat dan RM5,000 penduduk yang kehilangan ahli keluarga.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik peruntukan tambahan khususnya bagi membantu petani yang terjejas ekoran sawah dimasuki lumpur dan hasil pertanian dibawa arus banjir.

“Daerah Yan merupakan kawasan pengeluaran padi berskala tinggi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -