Kerajaan tidak simpan wang sehingga dimurkai Allah

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi setiap Adun yang terlibat dengan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membantu rakyat berdepan pendemik Covid-19.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan rakyat terutama ketika berdepan dengan pendemik.

“Kerajaan tidak keberatan memperuntukkan sebanyak RM20,000 kepada setiap Adun untuk membantu kawasan terlibat dengan PKPD.

Advertisement

“Yang lain-lain bergantung pada kedudukan kewangan dan InsyaAllah kerajaan tidak akan menyimpan kewangan sehingga dimurkai Allah.

“Kerajaan negeri berbelanja mengikut keupayaan dan kewangan yang ada pada kita,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Sebelum itu Dato’ Hassan Mohamood (PAS-Tawang) berharap kerajaan negeri menggunakan sebaik mungkin kewangan yang diberikan kerajaan persekutuan.

Dato’ Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) turut membangkit mengenai peruntukan bagi menguruskan kawasan PKPD untuk membantu rakyat yang terjejas.

Menteri Besar juga berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat, faktor kedudukan dan aliran kewangan juga perlu diambil kira.

“Kita berbelanja mengikut bajet yang telah kita kemukan. Tetapi beberapa tahun lepas kita mendapat peruntukan luar jangka sebanyak 400 juta daripada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Sebelum ini pada akhir 2019 kerajaan Kelantan menerima peruntukan khas daripada perdana menteri berjumlah RM400 juta untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

Penduduk yang terbabit dengan lokasi PKPD di Kelantan sebelum ini menerima keperluan harian termasuk lauk setiap tiga hari sekali yang disumbang wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 24/8/2021