Semoga Malaysia terus aman di bawah PM ke-9

- Advertisement -

TAWAU: Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob diharap meneruskan agenda kebajikan yang dibawa kepimpinan negara sebelum ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Dato’ Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perdana menteri sekarang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pernah menerajui pelbagai kementerian sebelum ini.

Katanya Ismail Sabri dilihat mampu menggalas tanggungjawab yang cukup besar sebagai ketua kerajaan.

- Advertisement -

“Saya yakin Perdana Menteri Malaysia (PM) Ke-9 dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Saya mengucap tahniah di atas pelantikannya.

“Semoga Malaysia terus maju dan aman selama di bawah pentadbiran perdana menteri sekarang,” katanya seperti dilapor Utusan Borneo pada program penyampaian bantuan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Apas semalam.

Bantuan tersebut disalurkan kerajaan negeri kepada golongan B40 yang tercicir semasa agihan sebelum ini.

lebih 3500 bakul makanan diedarkan kepada penduduk yang terjejas meliputi Kampung Inderasabah dan Kampung Titingan.

Nizam yang juga Adun Apas berkata, keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat terutamanya golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak pernah diabaikan.

Beliau juga berharap program bakul makanan dapat meringankan beban penduduk yang menghadapi kesukaran ketika pandemik sekarang.

“Saya menasihatkan penduduk di daerah ini supaya sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Jangan abaikan semua SOP dan bagi mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 perlu segera mendapatkannya,” ujar beliau.

Menurutnya juga kerajaan negeri berharap mencapai imuniti kelompok sebanyak 80 peratus sebelum akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -