Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara yang bakal disambut menjelang 31 Ogos 2021, rakyat Malaysia diseru membuktikan semangat kemerdekaan yang tulen dan jitu dalam diri masing-masing.
Ini kerana selepas 64 tahun negara bebas daripada penjajahan kuasa asing, segelintir rakyat sebaliknya belum berjaya memerdekakan diri mereka sepenuhnya, khususnya dari segi memiliki pemikiran yang sempit tentang sesuatu isu berbangkit.
Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Kapten (B) Sharuddin Omar, 62, berkata, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, negara ketika itu berjuang untuk bebas daripada cengkaman kuasa asing.

“Namun selepas 64 tahun negara ini merdeka menjelang tahun ini, persoalan yang timbul adalah tentang pengisian kemerdekaan itu dalam diri rakyat Malaysia. Adakah dalam kalangan rakyat sudah berjaya memerdekakan diri masing-masing dari dibelenggu pemikiran yang sempit?” ujarnya.
Menurutnya, kemerdekaan dicapai adalah bersebab kerana pada zaman dahulu, selain kuasa asing, musuh negara ialah golongan komunis.
“Pada ketika itu, askar berperanan sebagai barisan hadapan atau frontliner dalam memerangi musuh negara dari kalangan komunis. Tetapi sekarang, musuh negara ialah Covid-19 dan frontliner ialah golongan pengamal perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memerangi virus maut tersebut termasuk melalui langkah pemvaksinan rakyat.
“Jadi, apabila ada dalam kalangan rakyat yang antivaksin akibat pemikiran sempit tentang vaksin Covid-19, mereka secara tidak langsung adalah musuh negara,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Sementara menurut Kapten (B) Mohd Hatta Musidi, 61, Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan menjelang 31 Ogos ini, namun semangat perasaan bangga meraikan Hari Kemerdekaan negara bukan menyeluruh dalam kalangan rakyat.
“Bagi kami yang pernah berkhidmat sebagai tentera, ikrar setia kami adalah kepada Agong, agama, bangsa dan tanah air. Sebab itu, sebagai rakyat kita kena patuh dengan kerajaan, jangan buat benda salah seperti segelintir rakyat.
“Apa yang penting, rakyat masing-masing kena berusaha membangunkan potensi diri serta membuat perancangan demi untuk memastikan kesejahteraan kehidupan masing-masing pada masa hadapan. Inilah semangat kemerdekaan yang perlu ada dalam diri semua rakyat di negara ini,” katanya kepada HarakahDaily.
Memandangkan masih dibelenggu pandemik Covid-19, Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada tahun ini secara sederhana sama sepertimana sambutan pada tahun lepas iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September depan. – HARAKAHDAILY 24/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!