Pengguna SATU diminta siap siaga – Dr Mamad

Penyelaras DUN Seberang Takir, Fadzil Wahab menjelaskan sesuatu kepada ADUN Alor Limbat, Ariffin Deraman (kanan) mengenai krisis air di Kuala Nerus.
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Selepas seminggu krisis air yang berlaku di dua daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu kembali pulih, kini masalah yang sama dijajaran paip dasar Sungai Terengganu berulang.

Harakah difahamkan, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan tekanan air yang rendah di jajaran paip dasar Sungai Terengganu ke Tangki Utama Berangan di Loji Bukit Berangan berada di paras tidak normal, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh tampil, memberi penjelasan segera bahawa pasukan teknikal SATU sedang melakukan pengesanan di dasar sungai tersebut.

Katanya, operasi pengesanan itu dilakukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang berlaku menyebabkan masalah gangguan air kembali berulang seperti sebelum ini.

“Pasukan Teknikal SATU kita sedang giat menjalankan langkah-langkah pengesanan di dasar sungai Terengganu ini untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip berkenaan.

“Sebarang penemuan atau perincian kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Kami (SATU) memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas mengenai masalah tekanan air rendah berlaku di Tangki Utama Berangan di Ibu Pejabat SATU, Kuala Terengganu, semalam.

Dr Mamad yang juga Ahli Lembaga Pengarah SATU Terengganu berkata, seramai enam juruselam dikerah bagi mengenalpasti punca pengoperasian tidak stabil yang berlaku pada paip di dasar Sungai Terengganu itu.

Sehubungan itu, katanya bantuan bekalan air segera digerakkan hari ini mengikut penjadualan sebelum ini dengan menggunakan lapan lori tangki.

“Selain itu, kita (kerajaan) telah memohon setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terjejas untuk mengenalpasti lokasi 150 tangki statik yang ditempatkan bagi memastikan bekalan asas air berkenaan tidak terputus,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, bantuan bekalan air bersih juga akan disalurkan di peringkat DUN dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang prihatin.

Mengikut rekodnya, krisis air yang berlaku di dua daerah tersebut melibatkan 28,700 akaun pengguna SATU dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan, dua bulan air percuma setelah bekalan air dipulihkan.

‘Krisis Air Berangan’ yang berlaku baru-baru ini melibatkan enam DUN di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu iaitu DUN Tepoh, DUN Buluh Gading, DUN Bukit Tunggal, DUN Seberang Takir, DUN Manir dan DUN Batu Rakit pada 2 hingga 13 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -