Liverpool tidak benarkan Salah wakili Mesir

- Advertisement -



KAHERAH: Liverpool tidak membenarkan penyerang utama kelab itu, Mohamed Salah, mewakili Mesir untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia bertemu Angola dan Gabon, awal bulan depan.

Perlawanan menentang Angola di Kaherah dijadualkan pada 2 September, diikuti bertemu Gabon di Franceville pada 5 September.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan malam tadi, Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) memberitahu telah menerima sepucuk surat dari Liverpool FC yang meminta maaf kerana tidak dapat melepaskan Mohamed Salah, menyertai pasukan kebangsaan dalam kem latihan pusat bagi menghadapi Angola dan Gabon.

Keputusan Liverpool itu berikutan peraturan pencegahan penularan Covid-19 di United Kingdom (UK) yang mewajibkan individu dari beberapa negara menjalani kuarantin wajib selama 10 hari sejurus kembali ke England.

EFA menyatakan bahawa kelab Inggeris itu berharap supaya konfederasi Mesir memahami bahawa tindakan itu terpaksa dilakukan kerana pemain yang dikuarantin dalam tempoh itu boleh mempengaruhi fizikal mereka, selain ketidakpastian syarat yang ditentukan oleh pihak berkuasa UK.

Oleh kerana Mesir berada dalam senarai merah perjalanan UK, Mohamed Salah perlu dikuarantin selama 10 hari sebaik kembali. Ini bermakna dia akan terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Leeds United pada 12 September depan.

Bagaimanapun, Liverpool dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk melepaskan Mohamed Salah ke Franceville bagi pertemuan dengan Gabon yang tidak termasuk dalam senarai kuarantin UK. Oleh itu, dia tidak perlu dikuarantin selepas melawat negara berkenaan.

Liverpool dan beberapa ahli Persatuan Kelab Eropah (ECA) lain dikatakan sedang memohon pengecualian untuk membolehkan pemain masing-masing tidak perlu dikuarantin. Mesir turut meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berusaha menyelesaikan masalah itu.

Tanpa pengecualian itu, Liverpool juga dikatakan bercadang mengambil tindakan yang sama terhadap pemain antarabangsa Brazil, Alisson, Roberto Firmino dan Fabinho daripada melaporkan diri bersama skuad Selecao.

Brazil berada dalam senarai merah yang ditetapkan UK berikutan negara itu terjejas teruk oleh pandemik Covid-19. Pasukan bimbingan Tite dijadual mengunjungi Chile sebelum menjadi tuan rumah kepada Argentina pada 5 September depan. – AFP

- Advertisement -