Nak bayar sewa rumah pun tidak mampu

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Pasangan suami isteri mualaf tidak berputus asa selepas kedai makan yang diusahakan sebelum ini terjejas kerana pandemik Covid-19.

Adam Yusof Khoo, 41 dan isterinya Zaiton Abdullah, 53, terpaksa menutup kedai makan setelah kehilangan pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun sekarang mereka beralih kepada bidang pertanian demi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.

“Perniagaan kedai makan tidak berapa bagus sekarang menyebabkan saya terpaksa mencari jalan lain untuk meneruskan kehidupan bersama isteri.

“Sampai nak bayar sewa rumah pun sudah tidak mampu. Jadi Alhamdulillah ada badan bukan kerajaan (NGO) membantu menyediakan tanah untuk kami usahakan.

“Rumah dan tanah mereka sewakan dari tuannya dan amanahkan kepada kami untuk diusahakan,” kata Adam Yusof ketika ditemui di sini.

Menurut isterinya yang dikenali dengan panggilan Kak Ton berkata, mereka merancang menanam sayur-sayuran termasuk bayam, cili, kangkung, terung dan jagung.

Kata beliau, tanaman sayur lebih mudah memandangkan masa untuk mendapat hasil singkat iaitu kira-kira dua atau tiga minggu sudah boleh menuai hasil.

Adam Yusof Khoo

Sementara itu, Pertubuhan Komuniti Prihatin Simpang Empat (PRISA) dengan kerjasama Jentera Pilihan Raya Dun (JPRD) Simpang Empat menyerah wakaf mesin gembur tanah dan alatan pertanian untuk membantu Adam.

Pengerusi PRISA, Razali Saad berkata, hasil sumbangan orang ramai dapat membantu pasangan suami isteri terbabit untuk mencari rezeki.

Kata beliau, pihaknya membeli jentera pengembur tanah tersebut dengan harga RM1,860.

“Kesungguhan Adam dan isterinya untuk terbabit dengan aktiviti pertanian terpanggil untuk kami membantu mereka bagi mendapatkan peralatan pertanian.

“Kami juga berbincang dengan MADA untuk mendapatkan bantuan peralatan pertanian. Kita berharap mereka bersungguh-sungguh mengusahakan tanah tersebut,” katanya.

Razali turut mengalu-alukan bantuan orang ramai membolehkan NGO berkenaan meneruskan usaha kebajikan bagi membantu penduduk. Sumbangan boleh disalur melalui Bank Rakyat – 1101644950 atau menghubunginya di talian 019- 4423 583. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -