Kerja berpasukan mampu tangani cabaran semasa

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF) menyifatkan cabaran yang dihadapi Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk memimpin negara adalah sangat getir berikutan keadaan semasa yang kritikal dan mencabar.

Pengerusi Pengasas MGBF, Nordin Abdullah, berkata Perdana Menteri berada dalam keadaan yang sangat berbeza berbanding pemimpin negara sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, tugas pertama Ismail Sabri ialah menubuhkan Kabinet, suatu tugas yang sebelum ini dibuat dalam keadaan seperti `berbulan madu’.

Bagaimanapun, katanya keadaan itu tidak lagi wujud kerana pandemik Covid-19 menyebabkan setiap keputusan yang dibuat adalah kritikal dan hanya sedikit kesilapan boleh dibuat.

“Kemelut politik yang berpanjangan juga menjejaskan tumpuan terhadap dua perkara penting yang perlu segera ditangani, iaitu pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

“Bagaimanapun, saya melihat keadaan sekarang mewujudkan peluang untuk menggunakan pendekatan bertenang bagi membolehkan hanya mereka yang terbaik dipilih untuk menyelesaikan pelbagai masalah sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nordin berkata, MGBF juga berpandangan bahawa perlu ada konsep tanggungjawab bersama bagi membolehkan kejayaan kerja berpasukan bagi menangani pelbagai cabaran semasa.

Katanya, antara masalah utama ialah pengangguran dan isu kesihatan mental yang memberi kesan negatif terhadap keyakinan perniagaan dan produktiviti individu dalam ekosistem perniagaan.

“Kami tidak bermaksud untuk menasihat Perdana Menteri, tetapi dengan horrmat membuat cadangan supaya keputusan penting dibuat berdasarkan amalan terbaik antarabangsa. Ini memerlukan maklumat diperolehi dari sumber sebenar demi kebaikan majoriti rakyat.

“Ini mungkin sukar tetapi adalah cara terbaik demi pemulihan ekonomi pantas yang komuniti perniagaan hasratkan. Ini juga peluang untuk membawa gaya kepemimpinan unik kepada kedudukan Perdana Menteri sebagai jawatan paling sukar di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!