Majlis Perwakilan bela anak yatim di Kelantan

Dato’ Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan sebelum ini dikenali sebagai sebuah negeri berkebajikan. Program itu bermula sejak lebih 15 tahun lepas.

Ia bermula dengan bantuan beras percuma sebanyak 10 kilogram bagi setiap keluarga miskin, warga emas yang meninggal dunia mendapat manfaat khairat RM1,000 dan pelbagai lagi.

Dan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini kerajaan negeri mengumum pula menubuh Majlis Perwakilan Anak Yatim Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md nawi berkata, usaha itu bagi memastikan kebajikan anak yatim mendapat pembelaan.

Katanya, wakil rakyat diminta mencalonkan dua perwakilan iaitu lelaki dan perempuan, di bawah umur 18 tahun yang menjadi anak yatim untuk menganggotai majlis tersebut.

“Kami sudah menghantar surat pelantikan kepada 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan.

“Majlis itu akan mengadakan mesyuarat kali pertama pada September ini dan kita juga akan mempunyai Majlis Pengurusan Anak Yatim Kelantan yang dibantu golongan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Kota Darulnaim hari ini.

Mumtaz berkata, sehingga sekarang terdapat kira-kira 11,000 kanak-kanak yang dijaga oleh armalah atau ibu tunggal di seluruh Kelantan.

Menurutnya daripada jumlah itu kira-kira 40 hingga 50 peratus merupakan anak yatim yang memerlukan sumbangan serta perhatian kerajaan.

“Kita ada banyak insiatif untuk menjaga anak yatim kerana kita lihat dalam al Quran memberi penekanan kepada anak-anak yatim dan miskin,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -