Ini sikap orang tidak tahu malu – Prof Dr Teo

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerakusan sesetengah ahli politik sebenarnya sebagai cerminan mereka tidak ada empati terhadap kebajikan rakyat, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong berkata, golongan terbabit tiada perasaan ikhlas terhadap rakyat.

Katanya, kumpulan tersebut tiada gagasan baik, lebih-lebih lagi bersifat luhur untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan negara.

- Advertisement -

“Sesungguhnya tiada yang lebih keji daripada adanya ahli politik rakus. Ini kerana mereka mengambil bagi diri sendiri lebih banyak daripada yang mereka berikan kepada rakyat dan negara,” katanya pada kolumnya di Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Ia juga bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Bagaimanapun tawaran kerjasama rentas parti dengan kerajaan PN ditolak semua pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH), Warisan, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pejuang dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Malah mereka menyifatkan tawaran dibuat Muhyiddin menggambarkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan terdesak.

Dr Teo Kok Seong yang juga ahli Majlis Profesor Negara berkata, biarpun berlaku perubahan pemerintahan negara, namun ia tidak berjaya direbut kelompok ahli politik tertentu.

“Lebih malang lagi katanya tawaran politik dwipartisan oleh kerajaan sebelum ini ditolak mentah-mentah kumpulan terbabit.

“Perkara itu berlaku kerana mereka meyakini ada peluang baik mendapat kuasa untuk diri sendiri tanpa perlu berkongsi melalui politik damai yang dihulurkan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau setelah kecundang, mereka seperti mahu menjilat ludah sendiri dengan memohon politik dwipartisan diamalkan pemerintahan baharu.

Katanya, sikap itu sangat menjijikkan sehingga sanggup menerima kembali sesuatu yang pernah dicemuh mereka.

“Sesungguhnya ini sikap orang yang tidak tahu malu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -