PM kongsi hiba lihat kesan tragedi Gunung Jerai

- Advertisement -

YAN: Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi kesedihan dan hiba melihat keadaan 1,856 kediaman dan premis perniagaan yang musnah dan terjejas teruk akibat bencana kepala air Rabu lepas.

- Advertisement -

Katanya tragedi kepala air yang berlaku tersebut meragut enam nyawa dalam kalangan penduduk tempatan.

“Ketika saya berada di Titi Hayun, mayat mangsa keenam yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai ditemui pasukan penyelamat.

“Saya kini berada di Titi Hayun, Yan, bagi melihat sendiri kesan bencana banjir yang berpunca daripada fenomena kepala air yang melanda kawasan itu minggu lepas,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Yan menjadi lokasi pertama perdana menteri turun padang selepas memasuki pejabatnya di Putrajaya pagi tadi setelah mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lepas.

Perdana menteri turut mengajak orang ramai menghadiahkan al Fatihah kepada mangsa-mangsa yang terkorban.

“Semoga keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini,” tambah beliau.

Khamis lepas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan kejadian hujan yang ekstrem dikenal pasti menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur di Daerah Kuala Muda dan Daerah Yan petang Rabu lepas.

Ketua Setiausaha KASA Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.

Katanya keadaan itu menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di kawasan penempatan di Daerah Kuala Muda dan Daerah Yan. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -