Coretan pengalaman membantu mangsa banjir

- Advertisement -

SEBELUM ini saya bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang lain bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan dengan Muslimat telah pun turun daripada hari pertama untuk sama-sama membantu. Pada hari ini sekali lagi saya telah turun sendiri bersama mereka membanting tulang.

Lagi pun, kawasan sekitar ini tidaklah jauh daripada lubuk hati. Ini kerana saudara-saudara saya juga berada di sekitar ini. Saya bersama 70 orang pasukan PAS Kawasan Kuala Kedah telah pun turun menolong masyarakat sekitar. Syukur, segalanya berjalan dengan lancar.

- Advertisement -

Selagi masih bernafas, selagi itulah kita perlu berbakti kepada masyarakat. Tatkala kesusahan yang dialami oleh orang lain, sudah tentu membawa penginsafan pada diri kita semua. Sayu hati ini tidak terkata apabila melihat banyak buah rumah yang dilanda bencana. Lumpur di sana sini, sebak hati ini tidak terkata. Berat mata saya memandang, berat lagi bahu mangsa-mangsa banjir ini memikul.

Sana sini ranting dan pohon tumbang. Lumpur separas betis kering, air bertakung kiri dan kanan. Ada rumah tempias, ada yang retak… Ketika hujan, hati penduduk mula resah… ‘Adakah aku akan ditimpa ujian sekali lagi ?’… Hati mula gundah gulana. Saya menelusuri satu per satu cerita liku-liku kehidupan mereka. 

‘Anak-anak mengaji pun online, kerja pun tak berapa nak dapat hasil… mai pula banjir ini’… Antara keluhan segelintir penduduk.

Terdetik dalam hati saya suatu perkara, yang mana saya sedar bahawa Allah S.W.T masih memberikan kesempatan kepada saya untuk berada di dalam nikmat rezeki yang diberikan. Berbanding dengan penduduk-penduduk di sini yang kini sedang ditimpa musibah.

Kesibukan tanpa mengenal erti penat lelah. Seharian saya bersama pasukan daripada PAS Kawasan Kuala Kedah termasuklah Ahli Jawatankuasa Kerja pimpinan, wakil Cawangan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta ahli-ahli yang lain telah turun ke Kampung Rendang Pasir.

Kami semua dapat membersihkan lumpur di beberapa buah rumah mangsa banjir tersebut. Mereka juga adalah sebahagian daripada sahabat-sahabat kita semua, suatu kewajipan bagi saya untuk membantu mereka.

Di samping itu, saya berkesempatan menghulurkan bantuan makanan kepada mereka. Bungkusan makanan ini sebagai bantuan daripada kami semua kepada penduduk di sana. Bersama saya sahabat setia iaitu Encik Rashidi Razak selaku Setiausaha PAS Kawasan, Bang Mie dan Encik Zul serta Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan iaitu Ustaz Majdi Hj Hussain bersama Ketua Dewan Muslimat, Hajjah Azizah.Tidak lupa juga kepada saudara Abd Basir dan Encik Azizi yang telah turun secara kerap ke sini sebelum daripada ini.

Rezeki ini harus dikongsi bersama mereka semua. Tidak kiralah berbeza latar belakang, agama mahupun bangsa. Kita semua umpama sebuah keluarga besar. Saya ingin menzahirkan di sini, ucapan takziah kepada mangsa-mangsa banjir. Saya berharap mereka terus cekal dan tabah akan ujian sebegini. Insya-Allah, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat akan menggiatkan bantuan kepada anda semua. 

Kredit juga patut diberikan kepada PAS Negeri Kedah yang telah menghantar NGO, Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah dengan wakil-wakil daripada setiap kawasan daripada seluruh Negeri Kedah. Begitu besar pengorbanan ini, jika sebelum ini kawasan ini dilanda banjir, beberapa hari ini Yan, Jerai dan Merbok dikerumuni ahli-ahli PAS. Merata ‘ceqok’ ada orang PAS. Ya benar, seperti sebuah pasukan yang besar. Mereka ‘crowded’ secara berhemah dan mereka bantu penduduk-penduduk kampung.

Kepada para pembaca, mari lah sama-sama kita doakan kebaikan serta kesejahteraan kepada bumi Kedah tercinta ini. Sejujurnya, saya ingin berkhidmat dan berbuat sehabis baik kepada rakyat di Negeri Kedah. Tanah tumpahnya darah kita, sama-sama kita sayangi negara Malaysia dan Negeri Kedah tercinta ini.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat,
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS – HARAKAHDAILY 23/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/228166420966448/posts/1223837328066014/

- Advertisement -