Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri ke-9

Foto Facebook Istana Negara
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebentar tadi.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

- Advertisement -

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno itu memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan, diiringi isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ke istiadat berkenaan.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Sebelum itu, kenderaan membawa Ahli Parlimen Bera itu memasuki pintu istana pada jam 2.20 petang.

Beliau turut membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan ke arah petugas media yang menunggu di luar Pintu Dua Istana Negara.

Jam 3.26 petang, kenderaan membawa Ismail Sabri keluar dari Pintu Satu Istana Negera.

Istana Negara semalam dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pelantikan Ismail Sabri, 61, yang juga Naib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Istana Negara semalam menerima senarai pencalonan bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Katanya, selepas mendapat representasi semua, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Ismail Sabri. – HARAKAHDAILY 21/8/2021

- Advertisement -