Semua pihak mahu pemimpin berintegriti – Wan Rohila

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar menyifatkan prasyarat yang dinyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan hasrat semua rakyat Malaysia.

Ujar Wan Rohila, semua pihak mahukan pemimpin yang berintegriti kerana dapat memberi gambaran bahawa pemimpin itu mampu menjalankan pemerintahan dengan baik, berkesan dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

- Advertisement -

“Apabila integriti dijunjung, masalah rasuah, scheme of thing, penawaran jawatan, ugutan politik dan lompat parti dapat di atasi dengan tuntas.

“Dalam keadaan runcing sekarang dengan masalah ekonomi, pandemik dan krisis kepercayaan rakyat kepada sistem politik dan pentadbiran, adalah penting untuk Perdana Menteri baharu bukan sekadar mempamer.

“Malah, membuktikan dengan kesungguhan iltizamnya menjunjung prinsip-prinsip integriti the good governance dengan melantik barisan jemaah menteri berkaliber.

“Yang bersih dari sebarang tuduhan mahkamah, bermerit tinggi dan meramaikan lantikan professional untuk mengisi kerusi pengerusi Government Link Company (GLC),” kata beliau kepada HarakahDaily, sebentar tadi.

Seterusnya, beliau berkata bahawa prinsip-prinsip integriti sering menjadi siulan di mulut para pemimpin namun, sering gagal untuk memanifestasikan.

“Jika Perdana Menteri baharu ingin mendapat mandat dan kepercayaan daripada pihak lawan, rakyat dan institusi awam, beliau wajib mempamerkan prinsip-prinsip integriti melalui perbuatan dan pelaksanaan kata-kata.

“Perdana Menteri baharu sudah tentu menggalas tanggungjawab yang sangat berat, sementelah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meninggalkan batu tanda yang tinggi.

“Rakyat secara umumnya berpuas hati dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh TSMY, terutama sekali mendepani pandemik Covid-19,” kata beliau.

Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar

Dalam pada itu, beliau berkata lagi bahawa, Perdana Menteri baharu mestilah mengemukan pelan tindakan baharu bagi mendepani krisis ekonomi.

Hal ini kerana, beliau percaya rakyat berhak mengetahui visi, tindakan jangka pendek dan jangka panjang untuk membolehkan ekonomi negara terus bergerak.

Selain itu, ia supaya rakyat kembali mendapat jaminan pekerjaan, penurunan kadar pengangguran dan, industri kecil sederhana (IKS) kembali bernafas memandangkan terdapat indikator mengatakan masalah sosial dan krisis kemasyarakatan dapat diatasi apabila ekonomi kembali pulih.

Menurutnya lagi, rakyat juga mahu polisi dengan jelas mengenai pendidikan anak-anak sekolah untuk mengatasi keciciran dan memberdaya lagi metodologi pengajaran agar sesuai dengan situasi sekarang.

Tambahan pula, rakyat juga sudah tidak mahu lagi mendengar sebarang krisis politik, termasuk pergolakan dalaman sesama parti komponen dalam kerajaan baharu, tawar-menawar sesama ahli parlimen dan sebarang ancaman dan ugutan politik dari dalam dan luar parti.

Malah, beliau yakin rakyat juga berharap agar kabinet dikecilkan demi menjadikan kabinet pasca Covid-19 jelas berfungsi dengan kemasukan ramai profesional dan teknokrat yang bersifat neutral, ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -