Pemimpin negara perlu dipandu manhaj rabbani

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Setiap pemimpin perlu dipandu dengan manhaj rabbani supaya mereka tahu setiap perkara yang dilakukan mengambil kira soal dosa atau pahala.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, begitu juga jemaah menteri yang bakal dilantik di bawah teraju perdana menteri baharu perlu memberi keutamaan kepada perkara itu.

- Advertisement -

Katanya, melalui peringatan tentang dosa dan pahala tentunya akan menatijahkan kebaikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Memang sepatutnya jemaah menteri dipandukan dengan manhaj rabbani kerana tiada perkara yang lebih baik digunakan melainkan memberi keutamaan kepada perkara dosa dan pahala.

“Kita berharap mereka sedar, melalui kuasa yang ada mereka nanti akan bertanggungjawab terhadap Allah Taala,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap jemaah menteri yang bakal dilantik di bawah perdana menteri baharu bukan individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Menurutnya individu yang akan dilantik menganggotai kabinet baru perlu terdiri daripada mereka yang berintegriti dan amanah.

“Prasyarat itu dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara,” katanya pada kenyataan petang semalam.

Sebelum itu Setiausaha Agung Umno Dato’ Seri Ahmad Maslan mengesahkan Naib Presiden Umno Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan 114 ahli Parlimen BN dan PN.

Pada Isnin lepas, Muhyiddin menghantar surat peletakan jawatan berikutan 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Ustaz Hashim juga berharap setiap pemimpin mengambil pengajaran daripada pengalaman lampau, di mana kepincangan akan berlaku jika aspek pahala dan dosa tidak dititikberatkan dalam urusan kepimpinan negara.

“Persoalan berkaitan dengan dosa dan pahala perlu diberi keutamaan dalam melaksanakan apa sahaja aktiviti.

“Cukupah kita mengambil pelajaran dari pengalaman sejak negara mendapat kemerdekaan sehingga ke hari ini, apabila terdapat segelintir pemimpin tidak mengambil kira dosa dan pahala maka masyarakat akan menjadi kacau bilau.

“Kita perlu yakin manhaj Allah itu adalah sebaik-baik manhaj di atas muka bumi ini bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh makhluk Allah,” katanya.

Beliau mendoakan supaya kepimpinan baharu nanti sentiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Konsep pentadbiran negeri berasaskan pahala dan dosa dirintis di Kelantan pada 1990 selepas Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerajui kerajaan negeri dengan memperkenalkan konsep Membangun Bersama Islam. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -