Kedah sumbang RM5,000 kepada keluarga mangsa terkorban

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bantuan sebanyak RM5,000 akan disumbangkan kepada keluarga mangsa kehilangan nyawa akibat tragedi kepala air di Yan dan Kuala Muda, kelmarin.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sementara bantuan sebanyak RM500 akan disumbangkan kepada setiap keluarga yang terkesan dengan kejadian terbabit.

- Advertisement -

“Sumbangan itu membantu meringankan bebanan mangsa sama ada untuk memperbaiki kerosakan peralatan asas atau pembersihan kediaman,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.

Menurut Sanusi lagi, pihaknya telah memutuskan hal tersebut setelah berbincang bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Berdasar maklumat awal, lebih daripada 1,000 buah rumah terjejas ekoran tragedi itu melibatkan kira-kira 800 buah di Yan dan 200 buah di Tupah.

“Sebagai langkah awal semua keluarga yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan pejabat daerah masing-masing.

“Semua urusan pendaftaran bagi menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda,” jelasnya lagi.

Katanya, sementara bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan kerajaan masih dalam perbincangan. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -