Nibong Tebal tenggelam lagi, JAM hulur bantuan

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

NIBONG TEBAL: Seluruh masyarakat di kawasan Nibong Tebal sekali lagi berdepan tragedi banjir kilat sejak Rabu yang menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sini dinaiki air.

Hasil tinjauan pasukan pemantau mendapati, terdapat beberapa tempat lagi yang telah ditengelami air di sekitar Kawasan Nibong Tebal.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Nibong Tebal, Ustaz Zulazhar Mohamad salah satu punca adalah kerana pembangunan taman perumahan yang dirancang kurang diberi penekanan dan diimbangi dengan kesesuaian sistem perparitan yang baik.

- Advertisement -

Katanya, banjir kilat itu akan bertambah buruk lagi berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengenai hujan lebat sehingga Jumaat.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi menyeru agar semua penduduk negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dinasihatkan berjaga-jaga dan waspada akan berlaku hujan lebat dalam tempoh beberapa hari.

Pun begitu kata Ustaz Zulahzar, dalam kesibukan Anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Nibong Tebal membantu menguruskan pengkebumian jenazah mangsa Covid-19 bersama Pejabat Kesihatan Daerah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh dua minggu ini, mereka masih sempat membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

Kata beliau, dengan kekuatan tujuh anggota JAM Kawasan Nibong Tebal, pihaknya telah berjaya membantu mencuci dan membersihkan beberapa buah rumah yang didiami Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas di sekitar Kampung Padang Lalang, di sini.

Katanya lagi, kerja-kerja pembersihan dimulakan seawal pagi sehingga jam 1.00 petang Khamis.

“Namun dengan kekuatan anggota yang agak terhad adalah amat sukar bagi kami untuk santuni kesemua mangsa banjir kali ini, banjir kilat pada kali ini agak besar jika dibandingkan pada tahun tahun sebelum ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, hasil tinjauan di Jalan Veerapan di sini, terdapat banyak kawasan tanah rendah ditengelami air setelah hujan lebat bermula lewat petang kelmarin hingga ke lewat malam.

Keadaan bertambah buruk lagi berpunca dari sistem perparitan yang tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak, selain parit yang tersumbat.

“Terdapat parit dan longkang besar, tidak diselenggarakan dengan baik di sini,” kata seorang penduduk yang tinggal di Jalan Veerapan. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -