Ismail Sabri berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

- Advertisement -

DATO’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu sebagaimana diumumkan hari ini, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden UMNO itu berada dalam Kabinet sejak tahun 2008 hingga 2018, sebagai Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk, ‘jihad memerangi orang tengah’,

Ahli Parlimen Bera itu juga memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat,
ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ismail, 61, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya, memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 dengan menjawat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian.

Menjadi Ketua UMNO bahagian Temerloh pada 2004, karier politik beliau terus meningkat sehingga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 2018 selain dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Berikut merupakan biografi Ismail Sabri:

Nama: Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob
Isteri: Datin Seri Muhaini Zainal Abidin
Tarikh lahir: 18/01/1960
Tempat lahir: Temerloh, Pahang

Nama anak:

  1. Nina Sabrina
  2. Gadaffi
  3. Nashriq
  4. Iqbal

Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM)

Politik:
2004 – sekarang : Ketua UMNO Bahagian Temerloh
2018 – sekarang : Naib Presiden UMNO

Kerjaya:
1985: Peguam
1995: Pengarah, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
1996: Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
2008 – 2009: Menteri Belia dan Sukan
2009 – 2013: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
2013 – 2015: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
2015 – 2018: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
2019: Ketua Pembangkang
2020: Menteri Kanan Pertahanan (mengetuai kluster keselamatan)
Julai 2021: Timbalan Perdana Menteri
Ogos 2021: Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -