Kesemua MP selesai menghadap Agong jam 4 petang

Sebuah bas kosong meninggalkan perkarangan Istana Negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan yang membawa ahli-ahli parlimen beredar dari Istana Negara di sini, selepas kira-kira sejam tiba untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam yang mula-mula keluar meninggalkan perkarangan Istana Negara dipercayai dinaiki Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Razak pada jam 11.32 pagi.

- Advertisement -

Diikuti wakil-wakil rakyat Umno antaranya Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Maran, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Mutalib dan Ahli Parlimen Jempol, Dato’ Salim Sharif.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa melambai tangan kepada media selepas sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pagi ini.

Manakala pada jam 11.39 pagi sebuah bas kosong yang pada awalnya membawa ahli-ahli Parlimen juga kelihatan keluar meninggalkan Istana Negara.

Sepuluh minit kemudian, bas kedua menyusul membawa Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon dan beberapa ahli parlimen lain.

Jam 12.45 tengahari, kelihatan bas membawa Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun masuk.

Jam 1.16 tengahari, bas membawa Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula masuk bersama beberapa Ahli-ahli Parlimen lain menggunakan bas sama.

Antara yang dapat dikenal pasti adalah Ahli parlimen Baling, Dato’ Sri Abdul Azeez Abdul Rahim, serta Ahli Parlimen Krau , Dato’ Sri Ismail Mohamed Said disusuli kenderaan membawa Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada jam 1.47 tengahari.

Jam 2.22 petang, Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat keluar bersama Ahli-ahli Parlimen lain menaiki bas disusuli kenderaan milik Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seterusnya, jam 2.25 petang, bas dinaiki Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong dan beberapa Ahli Parlimen dilihat masuk.

2.38 petang, Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilihat memasuki perkarangan Istana Negara menaiki bas bersama Ahli-ahli Parlimen lain.

Akhirnya, yang ditunggu-tunggu, jam 2.39 petang, sebuah bas membawa Ahli-ahli Parlimen PAS dilihat masuk ke perkarangan Istana Negara.

Antara yang dapat dipastikan, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim.

Jam 2.49 petang, Caretaker Perdana Menteri ketika ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan masuk ke perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1.

3.11 petang, kenderaan membawa Ahli Parlimen Bera, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob keluar dari perkarangan Istana Negara.

Jam 3.53 petang, dua bas membawa Ahli-ahli Parlimen PAS keluar dari Istana Negara. Antara yang kelihatan ketika ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Dengan itu, tamatlah sesi ahli-ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Semalam, Sultan Abdullah menitahkan ahli parlimen yang menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil menghadap pada hari ini.

Difahamkan ahli parlimen terlibat merangkumi pelbagai parti yang pernah membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Istana Negara kembali menjadi tumpuan media susulan pemilihan Perdana Menteri selepas perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri Perikatan Nasional diperkenankan oleh Sultan Abdullah pada Isnin.

Sehubungan itu Muhyiddin dilantik oleh Sultan Abdullah sebagai Perdana Menteri ‘caretaker‘ sementara proses pemilihan Perdana Menteri dijalankan.

Perikatan Nasional menghantar nama Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri manakala Pakatan Harapan mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dipercayai memperoleh majoriti sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -