Fenomena kepala air di kaki Gunung Jerai bukan angkara pembalakan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR:
Banjir kilat yang telah meragut tiga nyawa akibat kesan fenomena kepala air dari kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi di Yan, Kedah yang melanda di sekitar kawasan kaki Gunung Jerai di sini petang semalam, bukan kesan daripada pembalakan yang diuar-uarkan.

Kesan limpahan air deras kepala air berkenaan telah melanda dalam bentuk banjir kilat seumpama tsunami dan telah membanjiri beberapa kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah yang terletak berdekatan dengan beberapa sungai di sekitar kaki gunung berkenaan.

Menurut kajian  yang dilakukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pangeran Muda Al-Furqan, jika penelitian dibuat terhadap beberapa laluan anak sungai di kawasan berkenaan yang dapat dikesan secara kasar, didapati semua kawasan hulu masih lagi terpelihara.

- Advertisement -

“Dua projek pembangunan yang dikenalpasti pula adalah di bahagian hilir sungai. Jika projek kuari dan pembangunan tersebut yang menyebabkan fenomena kepala air, ia adalah agak mustahil berpunca hanya daripada dua kawasan berkenaan sahaja.

“Sedangkan fenomena kepala air dan banjir kilat berlaku di seluruh kawasan sungai yang ditanda. Ini kerana awan yang bergerak dari arah tenggara kawasan Gunung Inas ke kawasan yang dilanda banjir kilat itu berkemungkinan jenis nimbostratus, iaitu awan berlonggok yang berada di paras rendah,” jelasnya dalam kenyataan melalui Facebook.

Tambahnya, kelembapan kawasan di sebelah timur menyebabkan penyejalwapan berlaku semasa awan tersebut bergerak.

“Kadar taburan isipadu hujan agak padat dalam dua tiga hari ini, ditambah pula hujan lebat yang turun sejak pagi hingga ke petang menyebabkan kawasan puncak overloaded,” ujarnya.

Mengulas tentang hampas hutan yang dihanyutkan turut ke kaki Gunung Jerai, katanya,ia adalah disebabkan hentaman air hulu yang agak deras sehingga meruntuhkan tebing sungai.

“Jika tinggi kawasan alur tersebut, tujahan air yang jatuh ke tanah akan lagi deras dua kali ganda daripada biasa. Misalnya, di kawasan Seri Perigi dapat dilihat ketumpatan air dan kelajuan serta ketinggian ia jatuh telah merosakkan jalan tar sehingga menjadi berkeping-keping.

“Malah, kawasan meletak kenderaan merupakan bahagian yang mengalami kerosakan paling teruk akibat arus deras yang telah menghentam tebing tinggi tersebut,” jelasnya.

Pangeran Al-Furqan menjelaskan, tiada pokok yang bersaiz besar mahupun mega yang hanyut dalam hampas kepala air berkenaan, hanya pokok yang bersaiz sederhana sahaja kerana kawasan ia tumbuh telah runtuh.

“Pokok jenis berbanir kebanyakannya terdapat di kawasan yang agak jauh sedikit daripada punca air, tetapi jika ada itu nasiblah. Tak semua jenis pokok hutan yang berbanir jadi jangan salah faham pula,” tegasnya.

Menurutnya lagi, air terjun di sekitar kaki Gunung Jerai memang ada kepala air dan fakta tersebut telah diketahui secara umum oleh penduduk kawasan berkenaan.

Mengulas tentang kenapa banyak lumpur yang turun bersama banjir kilat itu, ujarnya, ia adalah berkait dengan fakta bahawa setiap ketinggian kontur bukit, jenis tanahnya tidak sama.

“Berkemungkinan ada beberapa kawasan yang mempunyai tanah lembut dan mudah terhakis,” jelasnya lagi.

Tambahan katanya, Gunung Jerai telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal malah ia telah diiktiraf sebagai Tapak GeoPark Kebangsaan pada tahun 2018 oleh Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, Gunung Jerai juga dalam senarai pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak geologi tertua di Asia Tenggara. 

Semenatara secara saintifik, kawasan berkenaan terletak dalam lingkungan geodiversiti Formasi Jerai, Formasi Mahang dan Granit Jerai.

“Formasi Jerai dengan usia batuan selama 550 juta tahun berada pada kedudukan tertinggi, iaitu 1,217 meter dari aras laut, menjadikan ia sangat unik dan memiliki nilai warisan geologi yang sangat tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -