KDA FC sasar tiga mata di Terengganu selepas benam Penang FC

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya fokus dan mengekalkan momentum permainan bagi pertemuan dengan pasukan di tangga kedua Liga Super Terengganu FC, Sabtu ini.

Selepas menyaksikan pasukannya menundukan Penang FC 4-1 di Stadium Darul Aman di sini malam tadi, Aidil Sharin optimis persembahan sama boleh dilakukan ke atas Terengganu bagi mengutip tiga lagi mata yang akan membawa Kedah ke kedudukan ketiga liga.

- Advertisement -

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Singapura itu mengakui perkara itu bukan mudah memandangkan pasukannya terpaksa mengharungi tempoh rehat dan latihan yang singkat selain bermain di tempat lawan.

“Sudah tentu kelebihan milik Terengganu tapi Insya-Allah kami akan beri persembahan terbaik untuk mendapatkan tiga mata,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Aidil Sharin juga berasa lega apabila pemain pertahanan utama Kedah, Renan Da Silva Alves yang tidak dapat beraksi malam tadi ekoran dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Selangor FC sebelum ini akan kembali untuk menguatkan pasukan.

“Sudah tentu kami perlukan Renan kerana dia adalah key player dan saya harap dia belajar daripada kesilapan itu dan tidak mengulanginya kerana ia akan mempengaruhi permainan (pasukan),” katanya.

Mengulas mengenai persembahan pasukannya pada perlawanan malam tadi, Aidil Sharin berkata ia adalah lebih baik berbanding ketika tewas kepada Selangor FC Jumaat lalu apabila pemain dapat menguasai permainan dan berjaya menjaringkan empat gol.

Sementara itu, pengendali Penang FC Tomas Trucha mengakui pasukannya gagal menyaingi kehebatan Kedah pada perlawanan malam tadi apabila semua percaturannya dilihat tidak menjadi sekali gus menyebabkan permainan dikuasai pasukan lawan.

“Kedah adalah sebuah pasukan yang kuat dan memiliki banyak pemain yang berkualiti…tapi kami mahu lupakan perlawanan ini dan fokus kami adalah perlawanan akan datang, kami akan melakukan lebih baik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -