Bila tiada rasa, buatlah apa saja

- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

BILA tiada rasa, susah sebenarnya. Buat apa pun tanpa denyut nadi dan sepenuh jiwa. Ikut suka. Tiada emosi di situ. Ia umpama perilaku ‘Stoic’. Stoic ini, boleh dirujuk dalam bidang kaunseling atau falsafah.

Wajah mereka ini seperti selamba bengkak. Sedih ke, gembira ke, susah ke, runsing ke semuanya tidak wujud atau sukar diterjemahkan. Tiada perasaan. Biarkan begitu sahaja. Orang kampung kata ini sebagai ‘kering hati’. Buat tak peduli.

- Advertisement -

Demikianlah juga kerja menulis. Jika tiada perasaan, ianya sukar dinukilkan. Yang membaca pun pasti tidak boleh menyelami atau menghayatinya. Guru penulisan saya pernah memberi petua, apa pun yang ingin ditulis, tulislah dengan hati, dan seboleh-bolehnya mata menjadi saksi. Sambungnya lagi, sekali menulis, jangan berhenti.

Itulah yang saya andaikan tatkala perang rebut kuasa melanda dunia, tidak terkecuali juga dalam negara. Semua yang terlibat, seperti tiada rasa. Secebis pun tak ada. Dan seperti biasa, rakyat pasti terpalit juga dan menjadi mangsa.

Ya, perang jawatan atau kuasa sentiasa dahagakan korban. Bukan calang. Darah, air mata dan nyawa tiada galang gantinya. Tapi itulah penangan. Tak serik dan tidak pernah diambil pengajaran. Sepanjang zaman. Namun hidup perlu diteruskan.

Mak Lang terus ke kebun, mengutip hasil tanaman. Pak Long tetap mengasah pisau, untuk menoreh getah di hujung kampung. Pak Mail setia menebar jala di lautan dan Tok Uda taat berlumpur selut, membajak sawah. Itulah siapa pun pemegang tampuk pemerintahan, mereka tetap juga di pedalaman.

Itu tidak dikira lagi, apa rasa mereka yang menerima ujian silih berganti. Sudahlah wabak melanda, kehilangan kerja. Tidak cukup dengan itu anggota keluarga dijangkiti pula, lebih pilu pergi tanpa kata-kata. Sayunya.

Yang membeli sebiji telur, yang terpaksa tebalkan muka meminta-minta, yang mengemis, yang hilang rumah, duduk di pondok buruk di stesen bas, di kaki jalan, bawah jambatan, yang bergaduh berebutkan barang sumbangan, yang jadikan stok simpanan bekalan bakul makanan, adalah antara kisah cebis kuku yang diketahui tapi belum tentu dijadikan berita. Mereka orang biasa, bukan ternama.

Apatah lagi bagi mereka yang tidak ada rasa apa-apa.Yang utama bagi mereka, celik mata saja, dua perkara. Angka dan kuasa! Berapa banyak laba yang diterima, habuan, harta, itu saja dalam kepala mereka. Siapa persoalkan, itu tanda cetek pengetahuan atau kurang ilmu atau tiada seni politik persilatan, kata mereka mendabik dada.

Bagi rakyat juga dua perkara, berlegar setiap masa. Angka dan kuasa. Angka rakyat yang hilang nyawa. Kuasa yang Maha Esa, doa supaya diangkat penyakit yang melanda. Siapa lagi yang mahu mendengar keluh-kesah mereka, kecuali Pencipta-Nya.

Itulah, tulislah, nasihatlah dan berucaplah. Pasti tetap ada si bebal yang bongkak, tetap ada si sombong mendongak langit. Pasti ada mulut celupar dan si busuk penyimpan dendam atau pengkhianat kesumat. Di mana-mana, walau Tuhan telah menurunkan ujian, di sebalik ramai yang kembali ke jalan keinsafan, tetap ada jua, yang mencari jalan kemurkaan.

Biarlah, apa jua yang berlaku. Apa daya kita seandainya ditipu, diperdaya, tidak dipedulikan susah senang dan jerit perih hidupnya. Biarlah, bila tiada rasa, buatlah apa saja. Buatlah ikut suka. Buatlah orang teraniaya dan menderita. Buatlah, tak mengapa. Nanti di hujungnya, biarlah Allah sahaja menghitungnya. Hitung setiap satunya.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Harakah. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -