Hukuman berat pemandu mabuk direalisasi era PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejak penubuhan PAS pada 1951, pertama kali dalam sejarah pemimpin parti itu menerajui sebuah kementerian kanan yang menjaga hal ehwal parlimen dan undang-undang.

Biarpun ketika PAS bersama Umno dan parti-parti lain mengasas Barisan Nasional (BN) pada 1974, portfolio yang diterajui ahli parlimen PAS ketika itu tidak seperti era kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dicatatkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan merupakan salah seorang daripada lapan Ahli Parlimen PAS yang dilantik dan dipilih untuk bersama kabinet kerajaan PN termasuk tiga berjawatan menteri.

- Advertisement -

Julung kalinya Setiausaha Agung PAS itu mengangkat sumpah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di hadapan Sultan Abdullah di Istana Melawati pada 10 Mac 2020.

Meskipun Takiyuddin menerajui Kementerian Bahagian Hal Ehwal Undang-undang yang bersifat pengurusan selama 17 bulan, pelbagai langkah yang dilakarinya.

Dalam suasana seluruh dunia dilanda wabak bahaya yang mengancam berbilion nyawa manusia dan pelbagai aktiviti yang menggerakkan ekonomi tergendala, Malaysia yang dipimpin kerajaan PN tidak pernah mengalah dengan ‘serangan asakan’ pandemik.

Sebaliknya menyediakan kemudahan dan ruang kepada rakyat untuk merancakkan aktiviti ekonomi negara melalui inisiatif-inisiatif baharu seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang telah diumumkan Tan Sri Muhyiddin pada 27 Mac 2020.

Dengan perkembangan ini, Takiyuddin meneruskan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan pada 2020 bagi memberi faedah kepada kegiatan ekonomi negara iaitu melalui pelaksanaan projek-projek pembinaan mahkamah baru di seluruh negara.

Ia melibatkan 120 mahkamah dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

Projek berkenaan dilihat memberi kesan positif berganda kerana berpotensi membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mahkamah.

Selain itu memberi manfaat kepada kontraktor kelas G1 hingga kelas G4 di semua negeri selain membantu mengekalkan pekerjaan bagi pekerja-pekerja di sektor pembinaan.

Menteri terbabit memberi keutamaan kepada pembangunan RMKe-12 dengan cadangan memfokuskan pembangunan di kawasan yang paling mendesak dan benar-benar memberi impak ‘value of money’ bagi memastikan peruntukan yang ada dapat dimaksimakan sebaik mungkin.

Bahaya pandemik turut mengubah sistem penyampaian pendengaran kes di mahkamah, Takiyuddin memainkan peranan memastikan operasi mahkamah tetap berjalan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP).

Beliau melaksanakan pendengaran kes secara dalam talian melalui medium komunikasi elektronik bagi mengelakkan kehadiran secara fizikal orang ramai di premis mahkamah.

Bagi menyokong usaha kerajaan dan mengambil kira kesulitan rakyat termasuk bankrap, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) diarah mengambil langkah memberi penangguhan bayaran ansuran bulanan di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tempoh enam bulan.

Tujuannya bagi memudah cara orang yang bankrap untuk membuka akaun bagi permohonan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk i-Lestari dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi urusan permohonan bantuan PRIHATIN Nasional.

Selain itu,Takiyuddin menyatakan komitmen untuk memberi peluang dan kelayakan kepada golongan muda berumur 18 tahun menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum atau dalam mana-mana pilihan raya kecil sebagaimana pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.

Tindakan beliau juga dilihat menyebelahi tuntutan rakyat yang selama ini mengasak kerajaan mengenai hukuman berat dikenakan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam dan kerosakan.

Beliau menyokong pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk mengenakan hukuman berat kepada pemandu mabuk.

Antaranya menetapkan hukuman penjara mandatori dan meningkatkan kadar denda dengan memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa pesalah pemandu mabuk di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi.

Manakala sebagai langkah pencegahan Takiyuddin berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang membabitkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -